Tempatan

Kenyataan-Kenyataan Tokoh Islam Mengenai Kalimah Allah

Jangan lupa join Telegram, Instagram dan Facebook kami bagi mendapatkan berita terkini

KUALA LUMPUR, 19 Mac 2021 – Bekas Mursyidul Am PAS, almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini pernah menegaskan bahawa, kalimah Allah hanya merujuk kepada Tuhan yang satu.

Dan kalimah tersebut tidak tepat sama sekali untuk digunakan oleh agama yang mempunyai Tuhan lebih daripada satu.

Pendapat almarhum disokong oleh almarhum Prof Dato’ Dr Haron Din dan almarhum Datuk Harun Taib yang masing-masing memegang jawatan sebagai Timbalan Mursyidul Am juga Ketua Dewan Ulama dalam tampuk kepimpinan PAS ketika itu.

Tegas almarhum Prof Dato’ Dr Haron Din, “Kita menyembah Allah. Allah Tuhan kita. Mereka menyembah God. God Tuhan mereka. Allah sebut dengan begitu jelas, mereka tidak menyembah Tuhan yang kita sembah. Bagi kita agama Islam, bagi mereka agama Kristian.”

Dan almarhum Datuk Harun Taib pula menyatakan bahawa, golongan ulama PAS menyokong sepenuhnya pendirian almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa kalimah Allah hanyalah untuk umat Islam.

“Golongan ulama dalam PAS menyokong sepenuhnya pendirian terbaharu Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang iaitu kalimah Allah hanya untuk orang Islam.”

Kesemua kenyataan ini dipetik daripada buku terbitan Pustaka Cahaya Kasturi pada tahun 2013 dengan judul ‘Kalimah Allah Isu Dan Penyelesaiannya’ , dikarang oleh Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, yang kini merupakan seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ustaz Dato’ Rashidy Jamil al-Rashid, seorang penulis buku dan Dr Ustaz Mohd Aizam Mas’od, yang kini menjawat jawatan sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan pada tahun 2013 membenarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan penerbitan Katolik The Herald menggunakan kalimah Allah.

Dalam buku yang sama di bawah tajuk yang sama, iaitu ‘Reaksi Tokoh, Cendekiawan, Ulama dan Umara’, para pengarang turut mengumpulkan pandangan-pandangan daripada Tan Sri Harussani Zakaria, Datuk Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir, Datuk Seri Mohd Tamyes Abd Wahid, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan juga Dato’ Dr Maamor Osman.

Menurut Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abd Wahid, larangan menggunakan perkataan Allah oleh mana-mana agama selain Islam telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sejak bertahun-tahun dahulu.

“Sepatutnya mereka (Harold Catholic) faham perkataan Allah itu tidak harus digunakan kerana perkataan itu adalah khusus kepada agama Islam sahaja dan ia merujuk kepada Tuhan yang Maha Esa sahaja.”

Tambah beliau, agama Kristian sendiri tidak menggunakan kalimah Allah dalam kitab mereka.

“Sebaliknya mereka menggunakan perkataan seperti Ilah, God, Lord dan sebagainya bagi merujuk kepada Tuhan mereka.”

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria juga menegaskan bahawa Allah tidak boleh disamakan dengan Tuhan dalam agama lain.

“Mana boleh kita samakan Allah yang Maha Esa bersifat tunggal dengan pegangan agama yang menganggap Tuhan sebagai tiga elemen.”

Bagi Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Datuk Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir, membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah adalah satu tragedi bagi agama dan umat Islam.

“Kalimah Allah bukan sesuatu yang boleh dipermainkan. Tambahan pula jika digunakan oleh penganut agama lain kerana sensitiviti umat Islam bukan sahaja di negara ini, malah di seluruh dunia.”

Tegas beliau lagi, kalimah Allah merupakan sebahagian daripada ayat-ayat suci al-Quran yang pada setiap masa tanpa sebarang kompromi dan tidak boleh dikongsi oleh mana-mana pihak selain penganut Islam.

Pandangan Mufti Selangor ini senada dengan Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Dato’ Dr Maamor Osman yang menyatakan bahawa membenarkan penganut bukan Islam menggunakan kalimah Allah akan mencetuskan keadaan huru-hara.

“Keputusan itu boleh mencetuskan keadaan huru-hara dalam negara akibat sentimen beragama umat Islam yang amat sensitif terhadap perkara yang menyentuh soal kepercayaan mereka. Jika ini berlaku, tiada siapa yang untung jika rusuhan agama berlaku.”

Mengakui perkara ini disebabkan oleh perpecahan umat Islam sendiri, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid, seorang Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) mahu peruntukan kuasa-kuasa pentadbiran legislatif dan eksekutif digunakan bagi merungkai ketegangan ini.

“Masalah ini berpunca daripada sikap umat Islam sendiri. Perpecahan di kalangan umat Islam di negara ini menyebabkan penganut agama lain secara terang-terangan berani mengambil kesempatan daripada kelemahan itu.”

“Gunakanlah peruntukan kuasa-kuasa pentadbiran legislatif dan eksekutif bagi merungkai ketegangan ini,” ujar beliau.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button