Kencing Tikus: Lata Bayu Ditutup Sementara
BALING, 18 Jun 2024 – Pusat Rekreasi Lata Bayu, Asam Jawa diarahkan ditutup sementara selepas dua pengunjung disyaki dijangkiti penyakit kencing tikus.
Pegawai Daerah Baling, Yazlan Sunardie Che Yahaya berkata, arahan penutupan hutan lipur itu terpaksa dibuat selepas Pejabat Kesihatan Daerah Baling melaporkan terdapat dua mangsa kini sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital di Kedah.
“Arahan penutupan sementara dikeluarkan Jabatan Perhutanan Kedah bagi siasatan kes dan aktiviti pencegahan seterusnya.”
“Penutupan sementara ini dilakukan berikutan terdapat kes leptospirosis (kencing tikus) yang mempunyai sejarah mandi di Lata Bayu dilaporkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Baling.”
“Langkah ini diambil bagi menjaga kesihatan dan keselamatan orang awam yang berkunjung ke kawasan rekreasi Lata Bayu,” katanya.
Yazlan Sunardie berkata, pengunjung yang sudah mandi di situ dan mempunyai gejala seperti demam, sakit badan, sakit kepala, muntah, cirit-birit, sakit perut dan mata kemerahan diminta mendapat rawatan segera di klinik atau hospital yang berhampiran.