Kencing Tikus, Hutan Lipur Jeram Tinggi Ditutup Sementara
SEGAMAT, 29 Julai 2023 – Hutan Lipur Jeram Tinggi, Jementah Segamat ditutup buat sementara waktu selepas disyaki berlakunya kes kencing tikus di kawasan berkenaan.
Kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Segamat (MPS), Ungku Mohd. Tahir Ungku Mohd Zakaria, penutupan yang bermula pada 26 Julai lalu adalah bagi memberi ruang kepada Pejabat Kesihatan Daerah Segamat (PKDS) untuk menjalankan siasatan sampel kualiti air.
Menurut beliau, pihak PKDS mengambil langkah untuk menutup sementara Hutan Lipur Jeram Tinggi itu selepas pihaknya mendengar khabar angin bahawa berlakunya kejadian kencing tikus di kawasan tersebut.
BACA JUGA: Pahang Tubuh Unit Peronda Hidupan Liar, Pantau Kegiatan Langgar Akta
BACA JUGA: Bekas Ahli Parlimen Mahu SKMM ‘Unblock’ Blog Beliau, Atau Ke Mahkamah
BACA JUGA: Hampir 1,000 Tentera Simpanan Zionis Israel ‘Tarik Diri’, Protes Kerajaan Netanyahu
Jelas beliau, biarpun kes berkenaan masih dalam siasatan PKDS namun pihaknya perlu mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini.
Mengulas lanjut, sekiranya didapati tiada jangkitan virus kencing tikus di kawasan berkenaan, pihaknya akan membuka hutan lipur berkenaan dalam kadar segera kepada orang ramai.
Dalam masa yang sama, beliau turut meminta orang agar tidak berkunjung ke kawasan berkenaan buat sementara waktu bagi mengelakkan sebarang kemudaratan.