Kenapa Sam Ke Ting Digari Tapi Siti Bainun Tidak? Netizen Jelaskan Sebabnya
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 20 April 2022 – Baru-baru ini tular di laman Twitter sebuah hantaran yang memaparkan Sam Ke Ting dibawa ke mahkamah dalam keadaan bergari manakala Siti Bainun pula bebas berjalan tanpa gari.
Hal ini sekaligus menyebabkan pengguna media sosial mempersoalkan apa bezanya antara kedua-dua Orang Kena Tuduh (OKT) ini?
Seorang pengguna, @LilyZali tampil memberikan penjelasan bahawa isu gari ini sebenarnya adalah mengikut prosedur yang ditetapkan undang-undang.
Jelasnya, bagi gambar Sam Ke Ting, dia sudah disabitkan kesalahan dan dalam perjalanan ke penjara manakala bagi kes Siti Bainun pula, dia masih dalam proses perbicaraan dan sedang dalam jaminan.
“Satu kes,dah disabit dan nak dibawa ke penjara. Satu lagi kes tgh bicara dan dia dalam jaminan,” jelasnya melalui sebuah ciapan.
Tambahnya lagi, ada dua situasi di mana OKT dihadapkan ke mahkamah. Pertama, ialah tahanan reman, di mana tahanan ini kebiasaannya akan digari ketika dibawa ke mahkamah. Kedua, OKT diikat jamin, jelasnya OKT ini (seperti Siti Bainun) tidak akan digari ketika hadir ke mahkamah.
Secara asasnya, gari hanya akan dikenakan apabila perlu, di mana menurut penghakiman kes Yaakub bin Ahmad v. PP [1975], OKT dikira sebagai tidak bersalah sehinggalah pihak pendakwaan berjaya membuktikan sebarang kesalahan dilakukan.
Tetapi, dalam situasi sama ada OKT berkelakuan ganas atau berkemungkinan lari, maka tidak melampau untuk pihak berkuasa mengenakan gari terhadap OKT.