Kenapa Rebut Tanah Orang Islam Jadi Kubur & Kuil Bukan Islam?
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
TAMPIN, 22 September 2021 – “Jangan sesekali diusik tanah milik orang Islam di sini,” tegas Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Rembau, Azlan Shah Hamdan.
Beliau berkata demikian sebagai menyokong tindakan penduduk yang membantah keras sebarang usaha untuk mengambil atau menukar status sekeping tanah yang telah diwartakan sebagai tanah perkuburan orang Islam bagi Kariah Taman Senangin untuk dijadikan sebagai tanah perkuburan bagi orang bukan Islam.
“Suka saya menegaskan bahawa tidak perlu diganggu hak orang Islam ini kerana hal tersebut cuma akan mendatangkan kemarahan umat Islam secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan, apakah usaha Kerajaan Pakatan Harapan N9 untuk menjaga kepentingan dan hak-hak orang-orang Islam di negeri ini?
“Sepatutnya, MB selaku Pengerusi Bertindak Agama Islam Negeri Sembilan janganlah lelapkan mata, pekakkan telinga tentang isu ini, Exco Agama pun jagalah hak-hak dan kepentingan orang-orang Islam di negeri ini,” ujarnya.
“Belum habis kita dikejutkan dengan cubaan pihak tertentu untuk mengambil alih sebahagian tanah perkuburan Islam untuk dijadikan tanah perkuburan bukan Islam, timbul pula cubaan untuk membina kuil Hindu di tanah yang juga telah jelas untuk pembinaan Masjid Taman Indah Baru, di sini, baru-baru ini.”
Azlan yang juga Penyelaras Pemuda UMNO DUN Rantau berkata, “Kerajaan Pakatan Harapan carilah alternatif lain untuk dijadikan tanah perkuburan bukan Islam dan tapak kuil, mengapa tanah milik orang Islam juga hendak direbutkan?”
“Sebenarnya tidak perlu berunding dan berdialog lagi kerana sudah jelas kedua-dua tanah ini sememangnya telah pun diwartakan untuk kegunaan orang-orang Islam di sini,” tegasnya mengakhiri wawancara.