Politik

Kenapa Prinsip Asas Perikatan Nasional Lari Dari Landasan Utama Negara? – Prof Dato’ Naser Disa

Jangan lupa sertai Telegram, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 14 April 2021 – Pensyarah Pusat Pengajian Teras Unisza yang juga Mantan Peguam Kanan Persekutuan, Dato’ Proj Haji Mahamad Naser Bin Disa dalam kenyataannya kepada samudera.my baru-baru ini menegur tentang tiga asas Perikatan Nasional yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Prinsip Asas Perikatan Nasional yang diumumkan baru-baru ini hanya memberi fokus kepada 3 perkara berikut iaitu, fokus kepada keharmonian, junjung prinsip urus tadbir yang berintegriti dan pertahankan Kedaulatan Undang-Undang atau Rule of Law. Perkara utama di dalam prinsip Rukunegara tidak dimasukkan sekali. Mana perginya Kepercayaan kepada Tuhan dan Kesetiaan kepada Raja dan negara? Mana perginya prinsip menghormati kedudukan Islam sebagai Agama Negara? Sedangkan perkara ini dititahkan dan diperingatkan berulang kali oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.”

Beliau menjelaskan RUKUNEGARA yang dititahkan berulangkali oleh Baginda YDPA, penghayatan memberi fokus kepada 5 prinsip. Yang utama berkenaan dengan KEIMANAN dan KESETIAAN.

“Nampaknya kedua-dua prinsip mengenai KEIMANAN dan KESETIAAN tiada dalam 3 Prinsip utama Perikatan Nasional. Perikatan Nasional jangan lupa kepada bentuk penderhakaan yang kerajaan Pakatan Harapan pernah lakukan dengan usaha meratifikasikan ICERD dan STATUT ROM. Mengehadkan kepada 3 prinsip itu juga nampaknya macam nak ke ICERD pulak!”

Mengulas lanjut, beliau turut menyatakan kini sudah tiba masanya untuk Majlis Fatwa Kebangsaan di bawah Majlis Raja-Raja mengeluarkan fatwa berteraskan kepada Sumpah Jawatan Baginda DYMM Seri Paduka Baginda YDPA, di bawah Perkara 37(1) adalah menjadi kewajipan kepada Badan Eksekutif, Badan Legislatif, Badan Kehakiman dan semua pihak yang bernaung taat setia kepada Baginda YDPA untuk melaksanakan agenda Hifzuddeen.

Perkara 37(1) Perlembagaan Persekutuan, menurut Dato’ Prof Naser Disa, mewajibkan Baginda YDPA sebagai Ketua Tertinggi Bersumpah dengan nama suci Allah.

“Sumpah yang dilafazkan dengan menyebut nama Allah di dalam Perkara 37 (1) tersebut, bererti Asas utama Negara Malaysia adalah Keimanan dan komitmen kepada Allah yang Maha Esa. Apa komitmen sumpah rabbani itu? Dua perkara yang menjadi akujanji Negara – RULE OF LAW DAN HIFZUDDEEN iaitu memelihara agama Islam pada setiap masa.

Walaupun sumpah Negara ini dilafazkan oleh Baginda YDPA, pihak yang menggalas tanggungjawab untuk melaksanakan sumpah ini adalah Executive Judiciary dan Legislatif serta rakyat yang taat setia kepada raja dan Negara.

“Tapi kenapa dalam 3 Prinsip Asas PN ini hanya Rule of Law sahaja yang masuk? Hifzuddeen tak masuk?” soal beliau.

Menurut beliau lagi, Negara Malaysia ialah salah sebuah Negara di dunia yang mengikat keimanan kepada Allah SWT Yang Maha Esa. Ia jelas di dalam Perkara 37 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Malangnya para hakim, para peguam para ahli politik dan para pentadbir Negara Malaysia tidak menyedari akan hal ini. Ini kerana, sebahagian besar dari mereka masih merasakan Malaysia adalah sebuah negara sekular. Akibatnya Mahkamah gasak sahaja prinsip-prinsip asas Rule of Law seperti Keimanan dan Kesetiaan. Begitu juga dangan Legislatif. Nah sekarang Eksekutif pun nak turut serta.”

Sebagai cadangan penambahbaikan, beliau mencadangkan supaya ada baiknya prinsip yang pertama dalam 3 Prinsip Asas Perikatan Nasional itu ditambah dengan ungkapan “di bawah Naungan Baginda YDPA dan Raja-Raja. Barulah Sumpah Agong bawah 37(1) dgn Nama Allah itu dipatuhi. Begitu juga prinsip ketiga itu ditambah Hifzuddeen selepas Rule Of Law.

Bercakap mengenai peranan PAS sebagai salah sebuah komponen utama di dalam kerajaan Perikatan Nasional ini, beliau menambah,

“Mungkin PAS yang selama ini memperjuagkan Kedaulatan Islam boleh mencadangkan input-input ini jika masih ada keperihatinan kepada perjuangan suci ini. Saya fikir PAS dan perjuangan Islam bakal pupus jika hanya 3 prinsip asas ini sahaja yang menjadi guiding principle PN.”

“Perdana Menteri sebelum ini di dalam beberapa ucapan yang dibuat, turut menekankan tentang perlunya prinsip Rukunegara dihormati dan dihayati supaya Rukunegara tidak menjadi sekadar permainan di bibir. Tapi, dengan pengenalan 3 prinsip asas PN ini nampaknya ucapan-ucapan sebelum ini mengenai Rukunegara pun hanya sekadar lip service sahaja….”

 

Leave a Reply

Back to top button