Kenapa Non-Muslim Kuala Selangor Sayang Islam — Kumaran Nagapa
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA SELANGOR, 16 November 2021 – Pendakwah unik, Kumaran Nagapa berkongsi petua bagaimana beliau dan para pegawai Unit Dakwah Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor berjaya meraih sambutan kasih sayang dari puluhan keluarga India bukan Islam di daerah itu.
Program ziarah ‘Dulang Muruku’ yang disertai oleh sekumpulan pendakwah tersebut amat diterima baik oleh 25 buah keluarga yang menyambut Deepavali baru-baru ini, sambutan kasih sayang yang sangat akrab sehingga mereka telah diterima sebagai saudara terdekat!
“Antara tradisi orang India adalah apabila sesuatu hadiah diberikan di atas dulang (thaambalam), maka penerima harus membalasnya. Biasanya hanya saudara-mara terdekat akan guna thaambalam untuk berikan hadiah.”
“Memang niat kami nak guna thaambalam kerana kami nak test teori ini. Hah memang betul laa… Ramai yang balas dengan kuih muih atau pelawaan makan minum.”
“Beginilah caranya bagaimana para pegawai Unit Dakwah telah menjadi saudara terdekat kepada puluhan keluarga India yang bukan Islam,” kongsi beliau di laman Facebook.
Ini adalah salah satu inisiatif mereka untuk mewujudkan fenomena Islamofilia yang amat mereka hajati. Menurut beliau, Islamofilia adalah masyarakat bukan Islam yang suka atau sayang pada Islam.
Islamofilia adalah kata lawan kepada Islamofobia, yang bermaksud orang-orang yang membenci Islam.
“Dunia sekarang amat cenderung kepada fobia. Ini usaha kami untuk melawan Islamofobia dengan mengunyah muruku…dan kami MENANG!!!!”
Kumaran Nagapa merupakan mantan penganut Hindu sebelum kembali ke agama fitrah setelah mengucapkan dua kalimah syahadah di Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor pada tahun 2013.
Beliau dan Subahsini, isterinya yang juga seorang muallaf sepertinya, menubuhkan ‘Grassroots’, sebuah pusat khidmat yang berfungsi sebagai pusat pendidikan dan sosial masyarakat setempat, di samping untuk tujuan “menyampaikan berita baik mengenai Islam kepada semua lapisan masyarakat menerusi kebajikan dan akhlak”.