Kenaikan Permintaan 16%, Dunia Bakal Alami Defisit Logam Perak
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
AMERIKA SYARIKAT, 21 November 2022 – Dunia kini sedang berada di ambang kekurangan logam perak sebagaimana yang telah dilaporkan oleh sebuah agensi yang berpusat di Amerika Syarikat (AS), Silver Institute.
Menurut laporan tersebut, permintaan perak daripada pengguna-pengguna industri, pengilang-pengilang barangan kemas dan barangan rumah dari seluruh dunia serta para pelabur akan meningkat sehingga 16% berbanding tahun lalu.
Permintaan bagi tahun ini adalah mencecah sehingga 1.21 bilion auns, yang mana ianya merupakan yang tertinggi buat masa ini sebagaimana yang terdapat di dalam laporan yang disediakan oleh agensi tersebut.
Disebabkan permintaan yang terlalu tinggi, pasaran perak kini berdepan dengan defisit sebanyak kira-kira 194 juta auns, yang mana jumlahnya empat kali ganda lebih tinggi daripada jumlah defisit bagi tahun lalu.
Laporan yang sama turut menyatakan bahawa penyimpanan perak di London dan New York yang dipantau oleh COMEX dan Persatuan Pasaran Mullion London (LBMA), telah berkurangan sebanyak 25 peratus setakat ini, bagi tahun ini.
Silver Institute turut menyatakan bahawa salah satu penyebab utama bagi peningkatan permintaan logam perak adalah berikutan kadar peningkatan penggunaan logam tersebut oleh pengilang kenderaan automobil yang mana lebih banyak komponen elektronik digunakan dalam penghasilan produk mereka.
Selain itu, penggunaan teknologi 5G dan tenaga hijau yang semakin mendapat perhatian dunia juga turut menyumbang kepada peningkatan permintaan logam tersebut.