Tempatan

Kenaikan Kadar Faedah Jejaskan Golongan Berpendapatan Rendah – Zouhair Rosli

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 18 Mei 2022 – Pengarah Unit Sosioekonomi Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), Zouhair Rosli menegaskan, kenaikan kadar faedah boleh memberi kesan negatif kepada pekerja berpendapatan rendah terutamanya dalam kalangan mereka yang sedang membayar pinjaman perumahan mereka.

Ujarnya di dalam Malaysia Gazette, persekitaran sedia ada iaitu berpendapatan rendah dan harga makanan yang lebih tinggi tidak akan dibantu oleh komitmen bulanan yang lebih tinggi untuk membayar hutang perumahan.

Tambahnya, peningkatan dalam pasaran buruh dan pengukuhan permintaan domestik tidak semestinya bermakna kedudukan pekerja adalah lebih baik melalui gaji yang lebih tinggi.

Malah, peningkatan permintaan dalam negeri tidak bermakna pekerja menerima gaji lebih baik dan berbelanja lebih.

Kerana itu beliau menegaskan, kenaikan faedah akan memburukkan dan membawa kepada pendapatan boleh guna yang lebih rendah.

Minggu lalu, Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus.

Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.25 peratus dan 1.75 peratus.

Langkah Bank Negara Malaysia mula menaikkan penanda aras pinjaman OPR dilihat berpotensi mengurangkan peningkatan ketara kadar inflasi atau harga barangan, di samping mengukuhkan semula nilai ringgit berbanding dolar AS, lapor Berita Harian.

Mengulas lanjut mengenai perkara ini, Zouhair berkata, walaupun kadar faedah dinaikkan atas alasan untuk memerangi inflasi, ia mesti dilakukan dengan cara yang sesuai.

Justeru, beliau berpendapat, antara tindakan yang boleh dilakukan untuk golongan berpendapatan rendah yang berdepan dengan kesan kenaikan kadar faedah adalah dengan membekukan sebarang kenaikan pembayaran balik pinjaman.

“Campur tangan yang diperlukan agak mudah dan terus langsung dengan membekukan sebarang kenaikan pembayaran balik pinjaman untuk kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana (terutama kumpulan berpendapatan B80 (80%),” ujar Zouhair menurut Malaysia Gazette.

Sebelum ini, pakar ekonomi, Khalid Karim berkata, data menunjukkan bahawa golongan T10 di Malaysia membolot sebanyak 33% hasil keseluruhan pendapatan dalam negara.

Bukan sahaja golongan T10 di Malaysia membolot keuntungan sedikit banyak, golongan B10 di Thailand (3.2%) juga jauh lebih beruntung berbanding B10 di Malaysia.

“Kita memang yang paling teruk berbanding jiran-jiran kita,” ulasnya terhadap situasi keseimbangan pendapatan antara golongan 10% terkaya (T10) berbanding 10% termiskin (B10).

Leave a Reply

Back to top button