Kenaikan Gaji Sektor Awam Tarik Ramai Individu Tinggalkan Sektor Swasta
KUALA LUMPUR, 21 Ogos 2024 – “Kenaikan gaji dalam sektor awam mungkin menarik lebih ramai individu untuk bekerja dalam sektor ini, meninggalkan sektor swasta dengan kekurangan tenaga kerja atau memaksa majikan sektor swasta untuk menaikkan gaji, yang boleh menjejaskan kos operasi mereka.”
Demikian antara ulasan Profesor Kewangan Dan Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Datuk Prof Dr. Nik Maheran Nik Muhammad berhubung kenaikan gaji penjawat awam yang telah diumumkan Jumaat lalu.
Menurut beliau, kenaikan tersebut dijangka merangsang ekonomi melalui peningkatan permintaan domestik, terutamanya dalam sektor runcit, perkhidmatan dan perumahan.
Kenaikan itu juga dapat meningkatkan motivasi dan kepuasan kerja penjawat awam, sekali gus meningkatkan produktiviti dan kualiti perkhidmatan awam.
Tambah beliau, kenaikan gaji itu juga tidak terlepas daripada risiko kewangan yang perlu diurus dengan berhati-hati oleh pihak kerajaan.
“Dengan gaji yang lebih tinggi, penjawat awam mempunyai lebih banyak wang untuk dibelanjakan.”
“Bagi penjawat awam yang berpendapatan rendah atau sederhana pula, kenaikan gaji ini dapat membantu mengimbangi kenaikan kos sara hidup, terutamanya dalam persekitaran inflasi yang tinggi,” katanya.
“Dengan lebih banyak wang yang beredar dalam ekonomi, terdapat risiko bahawa ini boleh membawa kepada peningkatan inflasi, terutamanya jika peningkatan permintaan tidak seimbang dengan penawaran barang dan perkhidmatan.”