Tempatan

Kemuncak Hujan Tahi Bintang Diramal Berlaku 13 Ogos Ini

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 07 Ogos 2022 – Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) menjangkakan kemuncak berlakunya fenomena Hujan Meteor Perseids adalah pada hari Sabtu, 13 Ogos 2022 jam 3 pagi waktu Malaysia, dengan purata 60 meteor per jam yang boleh dilihat dalam keadaan langit yang gelap dan cuaca yang baik.

Fenomena Hujan Tahi Bintang yang telah bermula 17 Julai lalu itu akan berakhir pada 24 Ogos ini, menurut kenyataan MYSA, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di portal rasminya.

Fenomena Hujan Meteor Perseids yang merujuk kepada titik kemunculan hujan meteor di langit ini berlaku setiap tahun apabila Bumi beredar mengelilingi Matahari dan merentasi laluan orbit Komet Swift-Tuttle.

“Komet Swift-Tuttle dianggarkan mempunyai nukleus yang berdiameter sebesar 26 kilometer dan mengambil masa selama 133 tahun untuk melengkapkan orbitnya. Semasa komet tersebut mengorbit menghampiri Matahari, debu-debu komet yang terbebas disebabkan oleh proses pemejalwapan akhirnya akan berserakan dan membentuk laluan yang dipenuhi dengan sisa-sisa komet tersebut.”

Justeru, sisa tinggalan itu akhirnya akan memasuki atmosfera Bumi dan terbakar lalu membentuk jalur bersinar yang panjang,” jelas MYSA dalam kenyataannya.

MYSA juga memaklumkan bahawa Hujan Meteor Perseids muncul di kawasan buruj Perseus iaitu buruj langit utara, yang terletak di antara buruj Auriga dan buruj Cassiopeia.

Walau bagaimanapun, kemunculan sisa debu-debu komet yang terbakar dan membentuk jalur bersinar panjang dengan jumlahnya yang seperti hujan itu masih boleh berlaku dari pelbagai arah.

Oleh itu, orang ramai tidak perlu memfokuskan ke arah buruj Perseus sahaja untuk melihat meteor-meteor ini kerana ia boleh muncul dari pelbagai arah dan pada bila-bila masa, demikian tips yang disediakan MYSA untuk mencerap Hujan Meteor Perseids.

MYSA juga menyarankan orang ramai yang ingin melihat fenomena tersebut berada di kawasan yang lapang dengan mencari pemandangan langit yang luas dan tiada halangan seperti bangunan tinggi, pokok atau rumah.

Dalam pada itu, MYSA juga memberikan tips supaya menyesuaikan mata dengan tahap kegelapan selama 20 minit sebelum mencerap selain menjauhi persekitaran yang bercahaya dan mencari tempat yang lebih gelap untuk mendapatkan pemandangan Hujan Meteor Perseids yang baik.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: