Kemuncak Hujan Meteor Geminids Berwarna-Warni Hiasi Langit 14 Disember Ini
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 12 Disember 2022 – Kemuncak fenomena Hujan Meteor Geminids yang berwarna-warni dijangka akan berlaku pada malam 14 Disember ini , jam 11 malam (waktu Malaysia), dengan purata 120 meteor per jam.
“Tidak seperti kebanyakan hujan meteor yang lain, Hujan Meteor Geminids tidak dikaitkan dengan komet tetapi dengan asteroid, 3200 Phaethon.”
Menjelaskan lebih terperinci di Facebook, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) memaklumkan kejadian ini berlaku apabila asteroid mendekati Matahari, lalu berlaku keretakan haba (thermal fracturing), dan akan mengakibatkan serpihan 3200 Phaethon bertebaran di dalam orbitnya.
Seterusnya, sebahagian serpihan tersebut akan masuk ke atmosfera Bumi pada kelajuan kira-kira 130,000km per jam dan seterusnya mengewap sebagai meteor Geminids yang berwarna-warni.
Fenomena yang terjadi apabila asteroid mendekati Matahari pada jarak terdekat, kira-kira 21 juta kilometer, iaitu satu pertiga daripada jarak purata antara Utarid dengan Matahari ini boleh dilihat mulai 4 hingga 17 Disember.
Menurut kenyataan MYSA lagi, Hujan Meteor Geminids yang merujuk kepada titik kemunculan hujan meteor di langit itu, tidak hanya berlaku di kawasan buruj Gemini, malah fenomena tersebut juga berlaku dari pelbagai arah.
Justeru, tips untuk mencerap fenomena tersebut tidak perlulah memfokuskan kepada satu kawasan buruj sahaja tetapi perlulah dilakukan di kawasan yang lapang untuk mendapat permandangan langit yang luas dan tiada halangan seperti bangunan tinggi, pokok atau rumah.
Selain itu, elakkan persekitaran yang bercahaya, lebih gelap lebih baik serta sesuaikan mata dengan tahap kegelapan selama 20 minit sebelum mencerap Hujan Meteor Geminids.
Fenomena Hujan Meteor Geminids ini berlaku setiap tahun apabila Bumi beredar mengelilingi Matahari merentasi laluan orbit asteroid 3200 Phaeton, di mana asteroid 3200 Phaeton ini pada asalnya diberi nama 1983 TB dan nombor 1983 itu merujuk kepada tahun ia ditemui oleh Simon Green dan John Davis melalui imej yang berjaya dirakam oleh Infrared Astronomical Satellite (IRAS) pada 11 Oktober 1983, manakala nama 3200 Phaeton pula diberikan kepada asteroid tersebut pada tahun 1985.
Asteroid merupakan satu daripada ribuan jasad kecil cakerawala yang mengelilingi Matahari, terutamanya di antara orbit Marikh dan Musytari, mempunyai kelebaran 5km dan mengambil masa kira-kira 1.4 tahun untuk mengorbit Matahari.
Walau bagaimanapun, MYSA juga meramalkan kemungkinan kenampakan hujan meteor tersebut adalah kurang baik kerana terdapat gangguan bulan hampir purnama (waning gibbous moon) semasa kemuncak Hujan Meteor Geminids.