Kemuncak Fenomena Hujan Meteor Quadrantids Hiasi Langit 4 Januari Ini
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 02 Januari 2023 – Kemuncak fenomena ‘Hujan Meteor Quadrantids’ dijangka menghiasi langit dan berlaku pada jam 5 pagi, 4 Januari 2023 dengan purata 80 meteor per jam (ZHR).
Fenomena ini berlaku apabila Bumi beredar mengelilingi Matahari merentasi laluan orbit asteroid yang dinamakan 2003 EH1, di mana kelebaran asteroid tersebut adalah 3km dan mengambil masa kira-kira 5.5 tahun untuk mengorbit mengelilingi Matahari.
Seterusnya, sebahagian daripada asteroid ini terurai menjadi serpihan debu dan habuk akibat kesan keretakan haba yang kuat dan seterusnya terserak ke dalam laluan orbitnya.
Tidak seperti hujan meteor lain yang kebanyakan kemuncak hujan meteor berlaku selama kira-kira dua hari, ‘Hujan Meteor Quadrantids’ agak berbeza kerana kemuncaknya hanya berlaku dalam beberapa jam sahaja kerana Bumi melintasi aliran zarah yang nipis tersebut secara bersudut serenjang (tegak lurus).
Selain itu, ‘Hujan Meteor Quadrantids’ juga terkenal dengan meteor bola api (fireball) yang terang.
Menurut kenyataan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) di Facebooknya, fenomena yang berlaku setiap tahun ini telah bermula 26 Disember lalu sehingga 16 Januari 2023.