Tempatan

Kemudahan Cuti Kuarantin Jaga Anak, Penambahan Senarai Penyakit Berjangkit – JPA

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 09 Mac 2022 – Kemudahan cuti kuarantin bagi menjaga anak yang dijangkiti penyakit berjangkit serta memerlukan pengasingan akhirnya menemui jalan cerita baru apabila penambahan lain-lain penyakit berjangkit memasuki senarai.

Pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan berita itu menerusi surat edaran bertarikh 4 Mac lalu yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd. Syafiq Abdullah.

Menurut surat itu, nama Kemudahan Cuti Kuarantin dipinda kepada ‘Kemudahan Cuti Menjaga Anak Yang Dikuarantin atau Memerlukan Pengasingan’.

Bukan itu sahaja, satu lagi senarai penyakit berjangkit iaitu ‘lain-lain penyakit berjangkit yang diperakukan Pegawai Perubatan kerajaan atau swasta’ turut ditambah, menjadikan keseluruhan tujuh jenis penyakit dalam senarai penyakit berjangkit.

“Senarai penyakit berjangkit lain termasuk penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMDI), demam denggi dan demam denggi berdarah, campak (Measles), Chicken Pox, Difteria dan malaria,” ujarnya.

Manakala, bilangan hari cuti masih kekal iaitu maksimum lima (5) hari bagi setiap kes atau selama tempoh perakuan yang diberikan oleh mana-mana Pegawai Perubatan Kerajaan atau Swasta.

Ia juga mengikut mana yang lebih rendah dengan pindaan termasuk Hari Rehat Mingguan, Hari Kelepasan Mingguan dan Kelepasan Am.

Pegawai yang memerlukan tempoh cuti tambahan boleh memohon Cuti Rehat, Cuti Rehat Khas atau cuti-cuti lain yang berkelayakan.

Ketua Jabatan juga boleh mempertimbangkan pegawai yang sudah di tahap mengizinkan atau berupaya untuk bekerja dari rumah (BDR).

Sebelum ini, CUEPACS menyeru pihak kerajaan agar COVID-19 disenaraikan sebagai penyakit berjangkit dalam Pekeliling Perkhidmatan bagi melayakkan ibu bapa menggunakan cuti kuarantin untuk menjaga anak mereka yang dijangkiti wabak.

Penambahbaikan ini menurut Datuk Seri Syafiq Abdullah merupakan inisiatif yang penting bagi memudahkan ibu bapa menjaga anak mereka yang dijangkiti wabak COVID-19.

Leave a Reply

Back to top button