Tempatan

Kempen ‘Say No To Fake Dentists’ Tangani Doktor Gigi Palsu

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA NERUS, 01 Julai 2022 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempergiat kempen ‘Say No To Fake Dentists’ bagi mengingatkan masyarakat supaya lebih peka dan mengambil berat akan risiko yang dialami sekiranya mereka mendapatkan perkhidmatan daripada pengamal perubatan haram.

Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian) KKM, Dr Noormi Othman berkata, kebanyakan doktor gigi palsu atau pengamal perubatan haram itu akan menawarkan perkhidmatan secara bergerak dan mempromosikan perkhidmatan mereka menerusi media sosial.

“Kebanyakan pengamal perubatan yang ditahan berusia antara 20 hingga 30 tahun dengan majoriti mangsa juga dalam lingkungan umur sama.”

“Golongan muda ada keinginan mencuba (memakai pendakap gigi) tetapi kurang kesabaran untuk menunggu nombor giliran. Akibatnya mereka terpedaya dengan iklan-iklan di media sosial,” katanya sewaktu Sambutan Pelancaran Kempen ‘Say No To Fake Dentists’ Bahagian Kesihatan Pergigian Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) 2022, kelmarin.

Tambahnya, harga yang ditawarkan juga tidak logik jika dibandingkan dengan harga sebenarnya yang mencecah RM2,000 hingga RM6,000 bagi rawatan veneer (gigi) manakala pendakap gigi, RM5,000 hingga RM8,000.

Menurutnya, harga yang ditawarkan oleh pihak pengamal perubatan haram itu bagi perkhidmatan pendakap gigi palsu adalah serendah RM200 sehingga RM600 sahaja.

“Bagi mengelak kegiatan mereka dihidu, sindiket ini sering menukar tempat operasi di salun kecantikan, hotel, rumah tumpangan dan apartmen.”

Jelasnya lagi, pengamal perubatan haram terbabit dipercayai turut menyediakan perjanjian atau kontrak yang meminta pelanggan untuk menandatanginya untuk tidak memberitahu kepada sesiapa mengenai perkhidmatan rawatan yang diterima.

“Jadi pernah ada kes mereka datang ke klinik pergigian dan kita minta supaya melaporkan siapa (dan) di mana tempat, tetapi mereka tidak dapat dedah sebab sudah ‘sign’ (tandatangan) kontrak, jadi tak berani nak dedahkan,” ujarnya lagi.

Justeru, beliau menyarankan kepada orang ramai yang menjadi mangsa kepada doktor gigi palsu itu untuk tampil membuat laporan polis bagi memastikan kegiatan tersebut dapat dikawal sebelum ia semakin berleluasa.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: