Antarabangsa

Kemerdekaan Ke-75 India, Bangkit Keresahan Kumpulan Minoriti

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

NEW DELHI, 16 Ogos 2022 – Agenda dalam menjadikan negara India sebagai Hindu Rashtra atau ‘Negara Hindu’ telah menimbulkan keresahan buat umat Islam serta kumpulan minoriti yang lain seusainya sambutan Hari Kemerdekaan ke-75 negara itu, lapor sebuah portal antarabangsa.

Menurut seorang pengkritik, kumpulan ketuanan Hindutva telah membangkitkan permintaan mereka untuk menjadikan negara itu sebagai Hindu Rashtra atau sebuah negara ekslusif Hindu.

Tambah pengkritik itu, sejak pemerintahan Parti Bharatiya Janata (BJP) yang dikelola oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi, segala pemakaian, makanan, rumah ibadat, hak perlembagaan serta amalan agama umat Islam akan diserang, dilarang serta dihapuskan.

Bahkan, draf Perlembagaan India Sebagai Sebuah Negara Hindu juga telah disediakan oleh sekumpulan 30 orang di bawah Shambhavi Peethadheeshwar kata Presiden Shankaracharya Parishad, Swami Anand Swaroop dan ia bakal dibentangkan pada 2023 nanti.

Antara kandungan draf perlembagaan itu ialah hak mengundi hanya layak untuk penganut Hindu sahaja termasuk Sikh, Buddha dan Jain manakala orang Islam dan Kristian dikecualikan.

“Ia adalah sama di negara lain. Kemudian mengapa tidak di India? Adakah negara Islam memberi hak mengundi kepada orang Hindu yang tinggal di sana?” kata Presiden berkenaan.

Bukan itu sahaja, Varanasi juga dicadangkan menjadi ibu negara India menggantikan Delhi.

Tahun ini, BJP turut melancarkan kempen Har Ghar Tiranga yang menggalakkan orang ramai untuk mengibarkan bendera kebangsaan mereka bagi menandakan tahun ke-75 kemerdekaan India dan ia telah menimbulkan ketakutan dalam kalangan umat Islam.

Kata jurucakap Vishwa Hindu Parishad (Majlis Hindu Sedunia) berhaluan kanan, Sharad Sharma, sesiapa yang tidak mengambil bahagian dalam kempen itu dianggap menentang negara serta mempunyai keinginan untuk memecahkan India.

Susulan itu, seorang pendidik yang juga penyair Muslim, Sabika Abbas Naqvi mengatakan bahawa idea untuk menjadikan India sebagai sebuah negara Hindu itu menimbulkan kerisauan dan dia menganggap identitinya berada dalam keadaan bahaya. Katanya, ia menimbulkan kebimbangan kerana takut sekiranya dikecualikan daripada negara berkenaan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: