Kementerian Sahkan Malaysia Berisiko Gempa Bumi
KUALA LUMPUR – Malaysia mempunyai kebarangkalian untuk berlaku gempa bumi berdasarkan bukti-bukti empirikal yang dijalankan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) sebelum ini.
Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dalam kenyataan terkininya berkata, kejadian gempa bumi kuat yang berlaku di Sumatera, Indonesia berpotensi mengaktifkan sesar-sesar kuno di Semenanjung Malaysia.
BACA JUGA: Aidilfitri: Ribut Petir Dijangka Landa Malaysia Dua Hari Berturut-Turut
BACA JUGA: Solat Raya: JAKIM Saran Jemaah Memakai Pelitup Muka
BACA JUGA: Jadual Kutipan Sampah Dianjak Pada Raya Ini
“Kesan gegaran boleh dirasai di beberapa lokasi di pantai barat Semenanjung, manakala magnitud gempa pula boleh terhasil bergantung kepada saiz sesar kuno yang diaktifkan,” kata kementerian itu.
Bagi Sabah dan Sarawak, kejadian gegaran gempa bumi pula disebabkan oleh kombinasi pengaktifan sesar-sesar kuno akibat daripada himpitan oleh pergerakan tektonik Plat Filipina dan Plat Eurasia serta pergerakan sesar aktif tempatan.
Susulan itu, beberapa stesen Penanda Aras Gempa Bumi (PAG) pasif dan aktif dipasang sekitar Sabah, Sarawak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Perak di bawah Projek Pemetaan Sesar Aktif dan Kawasan Risiko Gempa Bumi.
“Enam [6] stesen aktif di Sabah dan 54 PAG pasif di enam negeri (Pahang [13], Selangor [6], Perak [2], Negeri Sembilan [2], Sarawak [2] dan Sabah [29].”
Stesen ini bertujuan memantau pergerakan sesar aktif yang berpotensi menyebabkan kejadian gempa bumi dan ia dipantau secara masa nyata.
Sebagai langkah mitigasi jangka panjang, JMG menjalankan program libat urus dengan pihak berkuasa tempatan dan pihak berkepentingan dalam aplikasi penggunaan peta bahaya seismik.
Program kesedaran awam juga dilaksanakan kepada pihak berkuasa negeri, penduduk tempatan dan sekolah yang terdedah kepada ancaman risiko gempa bumi.
Pada masa sama, NRECC turut menyarankan input peta bahaya seismik dirujuk dalam reka bentuk struktur bangunan di Malaysia.