Kementerian Pengangkutan Rancang Bina Rangkaian Rel Malaysia-China
KUALA LUMPUR, 16 Mac 2023 – Kementerian Pengangkutan sedang mempersiapkan rancangan untuk membina rangkaian rel yang boleh menghubungkan Malaysia dan China.
Lapor media tempatan, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, rangkaian rel itu dibina bagi menyediakan laluan perdagangan yang stabil dan lebih murah untuk barangan import dan eksport serta bagi menyelesaikan masalah pengangkutan laut.
Ujarnya lagi, rangkaian rel itu mungkin dibangunkan bermula dari Kuala Lumpur atau Johor Bahru sehingga ke bandar Kunming, China merentasi dua negara, Thailand dan Laos.
Lantaran itu, pihak kementerian memerlukan kerjasama kerajaan Thailand dan Laos untuk merealisasikan hasrat negara membina sistem pengangkutan rel sehingga ke China.
BACA JUGA: Tauliah Ceramah: Masjid Perlu Kekal Zon Aman – JAWI
BACA JUGA: Ceramah Hina Institusi Diraja, Polis Buka Siasatan
BACA JUGA: Banjir Kilat Melanda Kawasan Gempa Bumi Turkiye, 14 Terkorban
Tambah Anthony, “Pembinaan rangkaian rel ini adalah mungkin dan saya menyeru China untuk membantu dari segi memudahkan hasrat ini.”
“Dan diharapkan, China boleh memainkan peranan dalam membantu meyakinkan negara-negara lain seperti Laos dan Thailand, supaya satu hari nanti kita boleh mempunyai perkhidmatan kereta api yang lancar antara Asia Tenggara sehingga ke China,” katanya.
Kenyataan tersebut dibuat dalam majlis pelancaran Perkhidmatan Kereta Api Laut pertama Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dengan kerjasama Cosco Shipping Lines, sebuah syarikat perkapalan yang beribu pejabat di Shanghai.