Tempatan

Kementerian Kewangan Perlu Tarik Balik Syarat Baharu Lesen Kewangan – PERKASA

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 28 November 2021 – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dalam satu kenyataan bertegas mahu Kementerian Kewangan menarik balik peraturan baru yang dikenakan ke atas peniaga-peniaga yang ingin memperbaharui lesen kewangan mereka.

“MOF perlu segera tarik balik syarat ini bagi mereka yang mahu perbaharui lesen kewangan. Kembalikan syarat-syarat seperti mana sebelum ini.”

Ini kerana, menurut Setiausaha Agung PERKASA, Syed Hassan Syed Ali, banyak aduan yang diterima daripada peniaga-peniaga kecil yang meminta PERKASA menyuarakan masalah mereka yang tidak dapat memperbaharui lesen kewangan mereka akibat peraturan baru oleh Kementerian Kewangan.

Tambah beliau, sebelum ini mereka yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan boleh beroperasi dari rumah kediaman sebagai pejabat tidak terbeban dengan menyewa premis perniagaan atau lot pejabat dan bayaran lesen Pihak Berkuasa Tempatan(PBT).

“Tetapi semasa PKP dikuatkuasakan, masa itulah peraturan baharu ini diwujudkan. Peniaga-peniaga atau syarikat-syarikat pemilik tunggal perlu sertakan salinan lesen PBT bila mahu memperbaharui lesen kewangan.”

Lebih menyedihkan, banyak syarikat kecil ini telah mendapat jawapan gagal selepas permohonan secara dalam talian dibuat.

Tindakan ini sesuatu yang kejam terhadap peniaga kecil kerana jika tiada lesen kewangan, mereka tidak boleh dapat kerja-kerja dari Agensi dan Jabatan Kerajaan serta GLC, ujar beliau.

“Perkasa tidak boleh nak terima langsung tindakan MOF ini.”

“Inikah namanya kerajaan prihatin? Oh, apakah kerajaan prihatin dah tumbang, naik pula kerajaan Keluarga Malaysia punya polisi?”

Mengakhiri kenyataan, Syed Hassan menyeru pemimpin parti-parti Melayu supaya bersuara tentang isu ini kerana ianya melibatkan ramai usahawan kecil Bumiputera.

“Kamu semua berebut kuasa untuk apa sebenarnya? Untuk kepentingan peribadi atau rakyat?”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: