Tempatan

Kementerian Kesihatan Tutup PPV Mega Kerana Kos Mahal

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PONTIAN, 09 Mac 2022 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menetapkan bahawa keputusan penutupan semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega adalah disebabkan kos penyewaan lokasi yang tinggi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, penyewaan lokasi PPV Mega tidak menunjukkan keberkesanan kos kerana ia melibatkan penyewaan dewan-dewan persidangan yang besar.

Ujarnya, dewan persidangan yang disewa itu perlu dibayar dan bukan percuma namun kini PPV Integrasi mahupun PPV Mega sudah tidak lagi menjadi keperluan kerana kehadiran penerima vaksin sudah tidak seramai dahulu. Hal ini mungkin disebabkan sudah ramai yang telah menerima suntikan vaksinasi.

“Di Johor sahaja lebih 70 peratus dah dapat dos penggalak dan bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) pula, boleh dibuat di peringkat sekolah iaitu PPV sekolah,” katanya selepas melawat Klinik Kesihatan Serkat, Kukup, Ahad baru-baru ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa pemberian suntikan vaksinasi di lokasi yang lebih kecil seperti klinik kesihatan dan klinik swasta sudah memadai.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan melalui akaun Twitter beliau mengenai penutupan semua PPV Mega bermula 16 Mac 2022.

Walaupun begitu, sehingga tarikh berkenaan, vaksinasi secara jumpa terus masih dibuka di dua lokasi iaitu PPV Axiata Arena Bukit Jalil dan PPV Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: