Tempatan

Kematian Adib, Kes Pulau Batu Putih – Laporan Penuh Ogos Ini

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 13 Jun 2022 – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, memaklumkan bahawa Kerajaan akan menerima laporan penuh siasatan dan kajian kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim pada Ogos depan.

Tambahnya lagi, laporan isu dan tindakan perundangan kes Pulau Batu Puteh serta siasatan dakwaan terhadap Tan Sri Tommy Thomas dalam buku dihasilkan bekas Peguam Negara itu juga akan diterima pada tempoh sama.

Jelasnya, jawatankuasa yang dilantik pada penghujung Disember lalu untuk mengkaji tiga kes itu meminta tempoh kajian dipanjangkan untuk mereka memperhalusi dan meneliti dengan terperinci laporan terbabit.

Mengulas lanjut, tempoh lanjutan diperlukan bagi kerja penterjemahan berikutan ada laporan ditulis dalam Bahasa Inggeris.

“Tempoh sebulan diperlukan untuk penterjemahan. Kita akan bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang mempunyai kepakaran menterjemah dalam pelbagai bidang, demi memastikan tiada kesalahan yang berlaku apabila penterjemahan selesai dilaksanakan,” katanya menerusi sidang akhbar di pejabatnya, di sini pada Isnin.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa jawatankuasa juga berdepan dengan kesukaran untuk memperoleh dokumen dan saksi.

“Ada kes contohnya kita sukar untuk dapatkan dokumen yang disimpan oleh individu tertentu.”

“Malah, kita turut berdepan masalah saksi, ada yang sudah ke luar negara. Kalau saksi tidak mahu balik secara sukarela, kita akan bawa kepada Perdana Menteri dan barisan Kabinet. Oleh itu, kita tangguhkan hingga Ogos depan supaya laporan itu dapat dilengkapkan.”

Dalam siasatan kes Pulau Batu Puteh, beliau berkata, Kerajaan menggunakan semua kepakaran dari dalam dan luar negara contohnya khidmat pakar dari The Hague, Belanda, dan England.

Sebelum ini Wan Junaidi memaklumkan laporan akhir siasatan kes kematian Muhammad Adib akan dibentang kepada Kabinet pada bulan ini.

Leave a Reply

Back to top button