Kemasukan Ke Wad Kes COVID-19 Meningkat 26%
KUALA LUMPUR, 20 April 2023 – Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 26.2 peratus berbanding minggu sebelumnya.
Menurut kenyataan KKM, kebanyakan mereka yang dimasukkan ke hospital adalah golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan individu dengan komorbid.
BACA JUGA: Aidilfitri: Ribut Petir Dijangka Landa Malaysia Dua Hari Berturut-Turut
BACA JUGA: Solat Raya: JAKIM Saran Jemaah Memakai Pelitup Muka
BACA JUGA: Jadual Kutipan Sampah Dianjak Pada Raya Ini
Bagaimanapun, peningkatan tersebut tidak membebankan perkhidmatan kesihatan dan hospital masih beroperasi seperti biasa.
Dalam kenyataan yang sama, pihak KKM turut mengingatkan orang ramai agar terus mengamalkan amalan penjagaan kendiri susulan Syawal yang bakal menjelma tiba.
“Meskipun kita telah berada dalam Fasa Peralihan COVID-19, perlu diingatkan bahawa jangkitan COVID-19 masih dilaporkan dalam kalangan komuniti dan usaha mengawal penularan COVID-19 perlu sentiasa diteruskan.”
Orang ramai dinasihatkan agar mengamalkan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, Seek) bagi yang bergejala dan melakukan ujian COVID-19 jika didapati positif.
Malah, orang ramai juga dinasihatkan untuk memakai pelitup muka di kawasan sesak, sempit dan ramai orang bagi melindungi golongan yang berisiko tinggi seperti warga emas, individu dengan komorbid atau imuniti rendah dan kanak-kanak dari dijangkiti COVID-19.