Kemalangan Brek Rosak: Selain Pemilik Lori, PUSPAKOM Juga Bermasalah – Netizen
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
JOHOR BAHRU, 12 Julai 2022 – “Selain pemilik lori, PUSPAKOM juga bermasalah. #SPRM,” komen seorang pengguna media sosial susulan video tular menunjukkan kemalangan sebuah lori yang melanggar beberapa kenderaan lain di Johor Bahru-Woodlands pada pagi Khamis lalu.
Tinjauan samudera.my di laman komen video itu mendapati komen ini merupakan salah satu dari ratusan komen dari netizen yang mempersoalkan kredibiliti Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) berikutan kejadian ini.
“Apa tugas PUSPAKOM? Wujud lagi ke PUSPAKOM?” soal pengguna yang lain pula.
Menurut Kosmo Online, dalam kejadian minggu lalu, sebuah lori pengangkut yang dikatakan mengalami masalah brek telah melanggar 12 buah kenderaan dalam kejadian di Tambak Johor, Johor Bahru.
Video yang dikongsikan itu menunjukkan lori tersebut “menyapu” semua kenderaan yang berhampiran dengannya sewaktu jalan raya tersebut sesak dengan kenderaan.
Paling mengerikan adalah keadaan sebuah kereta sedan berwarna silver yang terheret sekali sehingga hampir remuk.
Menurut seorang lagi pengguna media sosial, beliau mempersoalkan bagaimana lori yang terlibat dalam kemalangan itu boleh lulus ujian PUSPAKOM yang diadakan enam bulan sekali.
“Brek brek brek brek benda sama yg berulang apa pihak berkuasa buat? Nyawa buat main gamaknya tak ambil serius,” kata syakir.marzuki pula.
Wifarah, seorang pengguna Instagram dalam komennya merayu kepada Kerajaan untuk membuat laluan khas untuk kenderaan berat.
“Tolonglah buat laluan khas untuk kenderaan berat kalau boleh. Jangn campur adukkan dengan kenderaan ringan. Makin lama makin seriau tengok keadaan sekarang kemalangan disebabkan lori-lori macam ni.”
Sinar Harian melaporkan bahawa susulan insiden ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan segera menjalankan siasatan Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP).
Manakala, pihak Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) pula akan menyiasat dari aspek teknikal untuk mencari punca kemalangan.
Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kemalangan tersebut.