Keluasan Tanah Rizab Melayu Meningkat 105.43 Peratus
KUALA LUMPUR, 30 Jun 2024 – Keluasan tanah rizab Melayu di Semenanjung Malaysia menunjukkan peningkatan sebanyak 105.43 peratus iaitu 2,554,363.37 hektar pada 2023 berbanding tahun 1947.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, data terawal keluasan tanah rizab Melayu yang direkodkan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) adalah pada 1947 iaitu keluasan sebanyak 2,422,720 hektar.
“Berdasarkan maklumat Pihak Berkuasa Negeri, keluasan keseluruhan tanah rizab Melayu sehingga 30 Jun 2023 adalah sebanyak 4,977,083.37 hektar dan ini tidak termasuk Pulau Pinang dan Melaka yang tidak mempunyai Enakmen Rizab Melayu.”
“Dalam hubungan ini, keluasan Tanah Rizab Melayu di Semenanjung Malaysia telah menunjukkan peningkatan sebanyak 2,554,363.37 hektar atau 105.43 peratus pada tahun 2023 berbanding tahun 1947,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang meminta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam untuk menyatakan jumlah terkini tanah rizab Melayu di seluruh negara dan sejauh mana dakwaan ditimbulkan sesetengah pihak bahawa tanah itu semakin berkurangan.
Menurut Nik Nazmi, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam menerusi JKPTG hanya merekodkan data keluasan Tanah Rizab Melayu yang diterima daripada Pihak Berkuasa Negeri selaras dengan keputusan Majlis Tanah Negara Ke-69 pada 2013.
“Berdasarkan perundangan semasa, hal ehwal Tanah Rizab Melayu adalah di bawah bidang kuasa sepenuhnya Pihak Berkuasa Negeri,” katanya.