Tempatan

Keluarga Diam Punca Penagih Buat Jenayah

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 20 Februari 2022 – Wujudnya jenayah kekerasan dan bunuh yang semakin berleluasa dalam kalangan penagih dadah terdorong daripada sikap ahli keluarga sendiri yang malu atas pembabitan ahli keluarga mereka selain terus merahsiakan penyalahgunaan dadah tersebut.

“Ia adalah disebabkan ahli keluarga penagih yang enggan bekerjasama untuk membantu ahli keluarga mereka yang ketagihan dadah kepada pihak berkuasa.”

“Tindakan tidak ambil peduli ini akan memperlihatkan pihak kerajaan gagal membantu golongan penagih dadah sepenuhnya,” ujar Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Berikutan itu, pihak berkuasa sukar untuk mengambil langkah awal bagi membendung masalah penyalahgunaan dadah itu sehingga akhirnya berlaku kes-kes jenayah terutamanya kes pembunuhan yang melibatkan penagih dadah tegar.

“Segelintir masyarakat kurang peka atau prihatin dengan keadaan jiran atau senario yang berlaku di sekeliling mereka dalam keadaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).”

“Sikap ambil tahu atau peka juga semakin terhakis pada masa ini disebabkan masing-masing memfokuskan kepada mencari nafkah semata-mata dalam tempoh pandemik,” katanya.

Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, sepanjang tahun ini seramai 99 penagih dadah terbabit dalam jenayah berat manakala 354 orang penagih dikesan terbabit jenayah berat sepanjang tahun lalu.

Minggu lalu, berlaku kes yang membabitkan penagih dadah tegar di Yan, Kedah yang rancak diperkatakan di media sosial di mana seorang lelaki yang juga pesakit mental menerajang bapa tirinya setelah tidak diberikan wang untuk membeli dadah.

Isu itu semakin hangat diperkatakan apabila beberapa audio visual yang menunjukkan suspek memukul bapa tirinya tular hingga mendapat perhatian warga maya.

Baru-baru ini pula, seorang lelaki dipercayai penagih dadah tegar dan pesakit mental ditahan di Kota Bharu selepas menetak leher ibu tirinya sehingga putus menggunakan parang. Wanita itu ditemui di rumahnya dalam keadaan berlumuran darah dengan leher terputus akibat daripada tetakan tersebut.

Leave a Reply

Back to top button