Tempatan

Kelantan dan Beberapa Negeri Catat Peningkatan Kadar Kemiskinan Tertinggi

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 17 Jun 2022 – Negeri Kelantan, Kedah, Sabah dan Sarawak merekodkan peningkatan kadar kemiskinan tertinggi di Malaysia, ujar Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dalam ucapan perasmian acara Bank Dunia (Pemantau Ekonomi Malaysia) semalam.

Menerusi acara tersebut yang bertemakan “Catching up: Inclusive Recovery and Growth for Lagging States”, beliau memaklumkan bahawa isi rumah di Sabah dan Sarawak serta Utara dan Timur Semenanjung didapati mengalami kesukaran untuk mendapatkan semula pekerjaan dan pendapatan berbanding di negeri lain.

Tambah beliau, pada tahun 2020, jurang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita antara wilayah tengah negara (Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Melaka) dan Sabah dan Sarawak adalah 2.7 peratus dan 1.3 peratus.

“Kami telah mencuba sedaya upaya untuk mengurangkan masalah ini, tetapi semestinya isu pembasmian kemiskinan masih tinggi.”

Mengulas lanjut dalam ucapan tersebut, beliau mengatakan, Malaysia bercita-cita untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2025. Namun begitu, beliau mendapati bahawa hasil negara tidak dibahagikan secara saksama.

“Kita mahu semua bahagian di Malaysia dibangunkan secara sama rata. Setiap negeri dalam Persekutuan sepatutnya kaya seperti Lembah Klang. Realitinya perjalanan kita masih jauh lagi,” kata Mustapa.

Beliau menjelaskan, Malaysia bukan sahaja mempunyai jurang yang besar dari segi pendapatan dan kekayaan tetapi juga dalam sektor pendidikan dan akses kepada infrastruktur negara.

“Tema program kali ini sesuai. Sebagai sebuah negara, kita perlu serius dalam menangani ketidaksamaan dan ketidakseimbangan pembangunan,” ujar Mustapa.

Mengakhiri ucapan berkenaan, beliau menegaskan bahawa kita perlu melakukan apa sahaja untuk membangunkan kawasan yang diabaikan di Malaysia. Beliau berharap agar laporan Bank Dunia memberi input kepada Kerajaan untuk menggubal dasar yang dapat memastikan hasil pembangunan dikongsi seluruh negara.

Leave a Reply

Back to top button