Kelam Kabut AS Tinggalkan Afghanistan, Pentadbiran Biden Salahkan Trump
AMERIKA SYARIKAT, 08 April 2023 – Lebih dari setahun setengah sejak tamatnya perang paling lama bagi Amerika Syarikat (AS), Presiden negara tersebut Joe Biden telah mendakwa bahawa mantan Presiden, Donald Trump bertanggungjawab atas segala kekecohan dan keganasan yang berlaku sewaktu pengunduran tentera AS dari Afghanistan.
Perkara tersebut telah dinyatakan menerusi sebuah laporan 12 muka surat yang diterbitkan pada Rabu lalu, di mana ianya menyatakan bahawa pilihan Biden untuk berundur dari Afghanistan telah menerima banyak halangan atas tindakan-tindakan yang telah dilakukan oleh Trump sebelum ini.
BACA JUGA: Persiapan Aidilfitri, Kuala Lumpur Dijangka Sesak Sabtu Ini
BACA JUGA: Pinda Akta Pencen Doktor Kontrak, Tukar KWSP
BACA JUGA: UAE Lapor Ramadan Tahun Ini Hanya 29 Hari
Laporan yang sama juga menyebutkan bahawa pentadbiran sebelum ini yang merujuk kepada Trump, sama sekali tidak mempunyai perancangan untuk mengeluarkan tentera AS daripada Afghanistan.
Laporan tersebut secara dasarnya mengiktiraf bahawa tiada sebarang kesilapan yang dibuat oleh pihak pentadbiran, namun terdapat satu perkara mengenai keutamaan pemindahan keluar lebih awal apabila berhadapan dengan “situasi keselamatan yang buruk” yang disertakan di dalam laporan itu.
Namun jurucakap bagi White House National Security Council, John Kirby telah menyatakan kepada pihak wartawan bahawa pengajaran mengenai isu keutamaan pemindahan keluar tersebut telahpun diguna pakai di Ukraine dan Ethiopia.
Kirby turut menyatakan bahawa membuat keputusan bagi hal sedemikian adalah sukar berikutan pihak pentadbiran harus mencapai keseimbangan yang betul di antara mengeluarkan tentera mereka dengan segera dan mengelak daripada menjejaskan kerajaan negara yang menjadi medan.
Jurucakap tersebut dalam kenyataannya enggan mengiktiraf sebarang kekesalan oleh Joe Biden mengenai keputusan yang diambilnya sendiri dengan menyatakan bahawa Presiden itu sudah tentu akan memulakan proses pengeluaran tentera dengan lebih cepat jika tentera dan agensi perisikan mendapat maklumat lebih awal, bagi merujuk kepada kejadian penguasaan Taliban.