Kekuatan Anggota Dan Aset Akan Ditambah Jika Diperlukan – Menteri Pertahanan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA TERENGGANU, 24 Disember 2022 – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kementeriannya sedia menambah anggota dan aset sekiranya keadaan banjir di negeri-negeri Pantai Timur bertambah buruk.
“Kekuatan anggota dan aset kalau perlu ditambah, kita boleh tambah, kerana memang banjir di Terengganu ini khususnya memberi kesan setiap tahun.”
“Kalau kita perlu dari Negeri Sembilan dan Melaka, kita boleh buat (digerakkan) segera, macam dari Pahang, Markas 4 Briged,” katanya selepas menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Peradong, Manir, Kuala Terengganu, pada Jumaat lalu.
Langkah tersebut katanya diambil untuk memastikan logistik mencukupi dalam membantu memindahkan mangsa banjir dan menghantar bekalan makanan di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri terlibat.
Jelasnya, gabungan aset-aset milik ATM dapat melancarkan lagi bantuan ketika bencana dan misi mengagihkan makanan dan barang keperluan terutamanya di kawasan yang terputus hubungan jalan darat.
Tambahnya lagi, pihak ATM turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pihak berkuasa tempatan dan agensi lain bagi memastikan koordinasi operasi dan bantuan banjir berjalan dengan lancar.
“Nanti gerak kerja pasca banjir lebih besar, kita akan gerakkan anggota Rejimen Askar Wataniah, sama-sama membantu.”
“Operasi banjir pasca banjir disifatkan sebagai lebih mencabar kerana melibatkan kerja-kerja pemulihan serta pembersihan kawasan terjejas,” ujarnya.