Tempatan

Kekecewaan KIKSM Berkaitan Topik PKP Disamakan Pencuci Tandas

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Kesatuan Inspektor Kesihatan Semenanjung Malaysia (KIKSM) berasa terkilan dengan laporan media Astro Awani berhubung kenyataan yang dipetik dari Ybhg Datuk Abdul Halim Mansor bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di dalam sebuah program wawancara dialog 3 penjuru pada Khamis yang dihoskan oleh Nazri Kahar yang disiarkan dalam Astro Awani.

Di dalam wawancara tersebut, Ybhg Datuk Abd Halim ada menyatakan mengenai pekerja bawahan di negara ini perlu dijenamakan semula.

Petikan ayat di dalam Astro Awani bertarikh 18 Feb 2022 “Contoh kita ambil pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura sebagai pencuci tandas, SD2,000 (sebulan), tapi dipanggil pegawai kesihatan persekitaran. Kita panggil pencuci tandas, memang sedih”.

Untuk makluman Ybhg Datuk Abd Halim telah menyebut di dalam Bahasa Inggeris iaitu “Health Surrounding Officer” jika diubah ke bahasa Melayu adalah “Pegawai Kesihatan Sekeliling”.

Untuk makluman, KIKSM adalah Kesatuan Sekerja yang didaftarkan di bawah Akta Kesatuan Sekerja sejak tahun 1960. KIKSM merupakan gabungan CUEPACS dan ahlinya dianggotai seramai 2,500 org pegawai terdiri dari jawatan Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran.

Kesihatan Persekitaran adalah merupakan suatu bidang yang mengambil kira faktor-faktor luaran manusia (fizikal, kimia dan biologikal) yang boleh memberi kesan kepada kesihatan manusia. Langkah-langkah penilaian dan pengawalan perlu diambilkira bagi memastikan kesihatan manusia terjaga.

Ia juga merujuk kepada teori dan amalan menilai, menambahbaik dan pencegahan faktor-faktor persekitaran yang berpotensi dan berisiko menyebabkan kesan buruk kepada kesihatan manusia untuk generasi semasa dan akan datang.

Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran adalah pegawai yang berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan lain-lain agensi.

Tugasan di Kementerian Kesihatan Malaysia adalah di dalam Kawalan Penyakit Berjangkit seperti kawalan dan pencegahan penyakit COVID-19 dan lain-lain penyakit berjangkit, Kawalan Vektor, Keselamatan & Kualiti Makanan, Kawalan Mutu Air Minum, Perundangan & Penguatkuasaan seperti pemantauan SOP PPN fasa 4, Promosi Kesihatan & Risiko Kesihatan, Kawalan Pencegahan Kesihatan di Pintu Masuk Antarabangsa, Bekalan air dan Keselamatan Alam Sekitar.

Tugasan di Pihak Berkuasa Tempatan adalah Perkhidmatan Kesihatan Persekitaran & Kebersihan Bandar, Pelesenan, Pengurusan Sisa Pepejal, Pengurusan Sistem Kumbahan.

Untuk makluman, kenyataan dibuat telah menjejaskan semangat dan moral Pegawai Kesihatan Persekitaran di Malaysia yang sedang bertungkus lumus dalam usaha mengawal wabak COVID-19.

Sehubungan dengan itu, pihak kami memohon agar Pihak Astro Awani dapat memperbetulkan semula ayat yang dipetik oleh Ybhg Datuk Halim agar tidak merujuk maksud pencuci tandas adalah Pegawai Kesihatan Persekitaran dan menyiarkan semula di dalam portal berita Astro Awani.

Sekian,
Mohd Zool Asmani B Mahmood
Presiden
Kesatuan Inspektor Kesihatan Semenanjung Malaysia (KIKSM)

Leave a Reply

Back to top button