NGO

MTEM Sokong PMX Lawan Alibaba

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KENYATAAN SOKONGAN MAJLIS TINDAKAN EKONOMI MELAYU (MTEM) KEPADA KERAJAAN TERHADAP PEMERKASAAN UNDANG-UNDANG ANTI “ALIBABA” DI MALAYSIA 

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menyokong penuh usaha Kerajaan dalam membanteras amalan Alibaba. Di Malaysia, amalan “Alibaba” sering dikaitkan dengan isu-isu seperti penyalahgunaan kuasa, rasuah, dan ketidakadilan dalam sistem perolehan kerajaan atau tender projek, serta pemberian sewaan kediaman golongan B40 kepada pendatang asing.

MTEM berpendapat bahawa inisiatif perangkaan dasar undang-undang Anti Ali Baba adalah salah satu langkah yang bijak dan proaktif diambil oleh pihak Kerajaan dalam mengawal penularan amalan ini di negara kita.

Umum mengetahui MTEM yang diketuai Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) telah lama berusaha keras berjuang dalam membanteras kegiatan Alibaba dalam kalangan usahawan Bumiputera, di mana salah satu usaha yang pernah dilakukan sebelum ini adalah mencadangkan “Akta Anti Sabotaj Ekonomi Negara” dan disambut baik di Kongres Bumiputera yang dianjurkan kerajaan yang lepas pada 2019. Setiap tahun DPMM menerusi cadangan-cadangan untuk bajet tahunan Malaysia secara konsisten mengusulkan mekanisma yang digelar “Program Bumiputera Berdaya” (atau Agenda Bumiputera Genuine) untuk dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan bagi membanteras gejala Ali Baba ini.

Pada hemat kami, hanya syarikat-syarikat Bumiputera yang genuine; iaitu yang mempunyai sumber dan pengalaman layak diberi peluang dalam kontrak Kerajaan. Pendekatan ini bertujuan untuk membina ekosistem dan rantaian bekalan Bumiputera. Jika tidak dilakukan cara sedemikian, syarikat yang terlibat dengan amalan Ali Baba ini; kebiasannya merupakan syarikat kroni yang mempunyai ‘contact dan cable’ untuk melobi lazimnya hanya mengambil komisyen. Hal ini akan mengakibatkan masyarakat Bumiputera tidak dapat menjana aktiviti-aktiviti hiliran dan memaksimumkan nilai tambah.

Sehubungan dengan itu, MTEM menyambut baik kenyataan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim berkenaan Dasar Anti Ali Baba yang diumumkan tempoh hari.

Selama ini tiada tindakan yang boleh disabitkan ke atas usahawan yang mengamalkan konsep Ali Baba dalam perniagaan disebabkan tiada penguatkuasan undang-undang yang berkaitan. Hal ini menyebabkan kumpulan tersebut bertindak semakin agresif dan mengakibatkan kemudaratan lebih-lebih lagi kepada usahawan bumiputera.

Pelbagai kontrak Kerajaan telah diberi keutamaan kepada syarikat bumiputera melalui Dasar Keutamaan Kepada Syarikat Bumiputera yang telah dikuat kuasa dari tahun 1995 namun sumbangan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bumiputera kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara hanyalah sebanyak 38% (RM520 bilion).

Oleh itu, DPMM dan MTEM berharap agar pihak Kerajaan akan merangka rang undang-undang tersebut dengan teliti dan terperinci dengan mengambil kira semua aspek yang berkaitan agar ekonomi bumiputera terus terbela dan dapat dipertingkatkan. Penguatkuasaan undang-undang ini juga akan dapat meminimumkan kerugian kewangan negara, memberi keadilan dan membuka peluang kepada usahawan bumiputera yang tulen dan benar, yang berpotensi untuk mendapatkan kontrak perolehan Kerajaan, memulihkan kepercayaan orang awam kepada integriti dan ketelusan proses tender serta menjamin pembangunan mampan di Malaysia.

Syabas diucapkan kepada YAB Dato’ Seri kerana berani menghentikan pengkhianatan yang berlaku atas nama agenda Melayu selama puluhan tahun.

Azlan Awang,

FELO KANAN MTEM

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: