Tempatan

Kedaulatan Undang-Undang & Pencabulan Perjanjian Oleh British – Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Kedaulatan Undang-Undang & Pencabulan Perjanjian Oleh British Dalam Hubungan Diplomatik Dengan Kerajaan Negeri Melayu Sehingga Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, 1948 & 1957

Erti Kemerdekaan Yang Perlu Difahami Pada Tanggal 31 Ogos 2022

Dalam dokumen perundangan yang membawa kepada laungan MERDEKA, British tidak pernah meletakkan Negeri Melayu sebagai tanah jajahan, berbeza dengan kedudukan Negeri Selat. Kenyataan Kerajaan British dalam Hansard Parlimen Britain ketika pembentangan Independence Bill 1957 menyatakan dengan tegas bahawa campur tangan British dalam hal ehwal Negeri Melayu bermula dengan perjanjian, maka hubungan yang wujud perlu ditamatkan juga dengan perjanjian.

Terdapat tiga perjanjian penting pasca perjanjian awal yang ditandatangani oleh British dengan Raja-Raja Melayu iaitu Perjanjian Negeri 1948, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957. Apabila British sendiri mengakui keperluan perjanjian baharu ditandatangani dengan setiap Raja Melayu pada 5 Ogos 1957, yang dikenali sebagai Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, itu menunjukkan kedaulatan Raja Melayu sejak perjanjian awal ditandatangani adalah kekal, tidak tersentuh sepanjang tempoh campur tangannya di setiap Negeri Melayu.

Pada sisi lain, apabila British melanggar mana-mana terma perjanjian awal dan hukum kanun Negeri Melayu (Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melayu) atau melakukan tindakan melampau daripada kuasa yang diberikan oleh perjanjian itu, maka perlanggaran tersebut merupakan pencabulan perjanjian yang menjadikan tindakan British itu tidak sah, atau boleh dicabar keabsahannya.

Pelanggaran perjanjian sedemikian tidak boleh diekploitasikan sebagai satu keterangan yang menunjukkan Raja Melayu tiada lagi kuasa kerana pernah tunduk kepada kehendak British apatah lagi dakwaan kononnya Negeri Melayu sudah dijajah atas alasan tersebut. Ini kerana jika sekiranya pencabulan yang berlaku itu dianggap suatu yang sah dilakukan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu sudah terlucut, maka sudah pasti Independence Bill 1957 tidak perlu dibentangkan oleh Kerajaan British untuk mendapatkan kelulusan Parlimen Britain bagi membolehkan Ratu England menamatkan perjanjian dengan Raja-Raja Melayu.

Dokumen perundangan dan polisi yang diperkenalkan oleh British sebagai penasihat kesemuanya diabsahkan melalui kuasa wibawa dan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Kedudukan tersebut tidak dipertikai oleh British malah terakam dalam laporan bertulis British termasuklah Laporan Reid.

Pelbagai peristiwa yang menggambarkan kerakusan British ketika mencampuri hal ehwal adat Melayu tidak pernah mengakibatkan kedudukan British berubah daripada apa yang termaktub dalam setiap perjanjian yang ditandatangani antara British dengan Raja-Raja Melayu, sebaliknya tindakan mana-mana pegawai British itu boleh dipersoalkan.

Sudut pandang yang betul perlu dikembalikan agar kita dapat menghayati Kemerdekaan sebenar yang diwarisi sejak daripada Kesultanan Melayu Melaka. Kebijaksanaan raja dan para pembesar Melayu serta keutuhan elemen watan tanah air Malaysia perlu dinobatkan agar setiap warganegara lebih menghayati bagaimana jati diri bangsa Malaysia dibina dengan penyertaan Sabah dan Sarawak.

31 Ogos adalah ulang tahun Hari Kebangsaan kita yang melahirkan BANGSA MELAYU yang terdiri daripada orang Melayu dan orang bukan Melayu. 31 Ogos bukanlah semata-mata Hari Kemerdekaan yang membebaskan Pulau Pinang dan Melaka daripada penjajahan.

31 Ogos 1957 adalah Hari Kebangsaan dan Hari Persekutuan Tanah Melayu.

Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain

Profesor Madya
Fakulti Pengurusan Industri
Universiti Malaysia Perlis

Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: