Kedaulatan Perairan Negara Tiada Galang Ganti, Mantan PM Tempelak PM
KUALA LUMPUR, 09 April 2023 – Mantan Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Md. Yassin menempelak Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan mengatakan bahawa Malaysia harus tegas mempertahankan kedaulatan wilayah dan keselamatan negara bagi melindungi hak serta tuntutan wilayah negara.
Ia adalah susulan daripada kenyataan Perdana Menteri dalam sidang Dewan Rakyat pada 4 April 2023 lalu yang memaklumkan bahawa terdapat tuntutan bertindih di Laut China Selatan “terutama kebimbangan negara China kerana PETRONAS telah menjalankan satu kegiatan besar-besaran di satu kawasan yang juga dituntut oleh negara China”.
Dalam kenyataan itu juga beliau menambah “kalau negara China merasakan ini hak mereka, kita boleh buka untuk rundingan.”
Menurut Muhyiddin, kenyataan sedemikian disifatkan sebagai cuai dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang Perdana Menteri kerana implikasi daripada kenyataan tersebut secara tidak langsung telah memperakui tuntutan negara China terhadap kawasan yang sememangnya wilayah Malaysia dan harus dipertahankan.
BACA JUGA: Jalan Gua Musang-Kuala Lipis Ditutup, Polis Cadang Laluan Alternatif
BACA JUGA: Kereta Polis Dengan Muatan Mercun Bernilai RM25000 Ditahan
BACA JUGA: PDRM Nafi Dalang Kes Penyeludupan Mercun
“Pada hakikatnya, kawasan cari gali PETRONAS yang dirujuk oleh Perdana Menteri adalah dalam wilayah Malaysia dan tidak boleh dirundingkan walaupun dituntut oleh negara China.”
Tambah beliau, kenyataan daripada Perdana Menteri tentang keterbukaan Malaysia untuk berunding ke atas hak wilayahnya telah mengundang risiko ancaman terhadap kedaulatan negara.
“Kenyataan Perdana Menteri yang dibuat di Parlimen ini adalah amat lemah, amat tidak bertanggungjawab dan kelihatan seperti menggadai maruah dan kedaulatan negara kepada kuasa asing,” kata beliau dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasminya.
Dalam kenyataan yang sama, beliau turut menyentuh tentang kehadiran kapal tentera laut China di kawasan perairan yang turut dituntut oleh tujuh negara termasuk Malaysia namun ia didakwa sebagai perairan antarabangsa oleh China.
Kata Muhyiddin, Perdana Menteri seharusnya tegas mempertahankan kedaulatan wilayah negara seperti yang termaktub dalam peta Malaysia 1979.
Jelas beliau, kawasan pertikaian di Laut China Selatan sehingga kini masih belum diputuskan dan ASEAN juga tidak mencapai konsensus mengenai pertindihan tuntutan di Laut China Selatan.
“Perlu diingat bahawa ASEAN menolak pengiktirafan 9 Dash Line yang dituntut oleh negara China, termasuk dalam wilayah perairan Malaysia.”
“Berkenaan pertindihan tuntutan, sebarang perbincangan mesti dibuat selaras dengan Konsensus ASEAN dan South China Sea Code of Conduct.”
“Sementara Malaysia mengiktiraf negara China sebagai kuasa ekonomi global, kedaulatan negara kita tidak boleh dikompromi sama sekali. Mengambil kira kedudukan ASEAN sebagai gabungan sepuluh buah negara, Malaysia mestilah menangani isu maritim antarabangsa secara lebih berwaspada berpandukan prinsip kedaulatan negara dan Gagasan ASEAN,” kata beliau mengakhiri kenyataan.