Tempatan

Kedaulatan Bahasa Melayu, Sekerat Belut Sekerat Ular

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 08 Disember 2021 – Salah satu perkara yang penting yang perlu diselesaikan adalah isu penggunaan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) dalam sistem kehakiman dan mahkamah di negara ini.

Penggunaan Bahasa Kebangsaan di mahkamah telah ditegur oleh pelbagai pihak sebagai tidak memuaskan dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim pernah menyatakan bahawa penggunaan bahasa di mahkamah tidak sempurna kerana bercampur antara Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris umpama sekerat ular, sekerat belut.

Kebelakangan ini, kita dikejutkan dengan isu teks sahih Perlembagaan Persekutuan yang masih lagi dalam Bahasa Inggeris walaupun negara sudah 64 tahun merdeka.

Menurut Datuk Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, walaupun Jabatan Peguam Negara telah menterjemah naskhah sahih Bahasa Inggeris itu ke dalam Bahasa Kebangsaan, namun ia tidak secara automatik menjadikan teks Bahasa Kebangsaan menjadi teks sahih.

Hal ini kerana terdapat peruntukan dalam Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan yang menjelaskan tatacara menjadikan teks sahih bagi Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Kebangsaan.

“Amat memalukan, walaupun sudah lebih 64 tahun merdeka, kita masih menjunjung teks Perlembagaan Persekutuan berbahasa Inggeris dan mengetepikan langsung teks berbahasa kebangsaan,” kata beliau lagi.

Bagi Pengerusi PEMBELA Haji Aminuddin Yahaya, sememangnya ramai yang masih tidak mengetahui hakikat bahawa teks sahih Perlembagaan Persekutuan masih Bahasa Inggeris dan bukannya Bahasa Melayu.

Namun, fakta ini tidaklah asing bagi mereka yang berkelulusan undang-undang apatah lagi para penggubal undang-undang.

“Ianya sangat menyedihkan kerana Ahli-Ahli Parlimen kita terlalu ramai merupakan graduan undang-undang dan malah Ahli Parlimen itu sendiri adalah penggubal undang-undang.”

“Sebenarnya, saya difahamkan sudah lama peguam-peguam terutamanya sahabat-sahabat dalam Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia menyuarakan dan memperjuangkan isu ini tetapi dipandang sepi sahaja,” kata Haji Aminuddin dengan penuh kesal.

Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) pula menegaskan, “Teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Melayu penting kerana tafsiran undang-undang dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan perlu didasarkan pada sistem semantik atau makna dalam Bahasa Melayu.”

Tambah beliau, teks sahih dalam Bahasa Inggeris jelas berdasarkan pandangan sarwa dan sistem nilai asing yang sebahagiannya tidak sesuai dengan pandangan sarwa dan sistem nilai Melayu.

Kata beliau lagi, implikasi menjadikan teks Bahasa Inggeris sebagai teks sahih terlihat dalam kes-kes di mahkamah seperti tafsiran kata “parents” yang dalam Bahasa Melayu jelas apabila kita merujuk kepada “ibu bapa”.

Kesan yang sama juga dinyatakan oleh Haji Aminuddin Yahaya berdasarkan kes Indira Gandhi.

“Kita lihat natijahnya, misalnya yang berlaku dalam kes Indira Gandhi bila interpretasi salah contohnya parent dengan parents, cuma takrif satu huruf ‘S’ sahaja, bukan satu perkataan yang menjadi isu yang akhirnya menyebabkan kekeliruan sehingga disalah tafsirkan, maklumlah dalam Bahasa Inggeris.”

“Sehingga apa-apa keputusan mahkamah boleh terjejas hanya kerana tafsiran bahasa dan pemahaman yang berbeza daripada sudut Perlembagaan yang akhirnya menyebabkan sesuatu kes itu akan menjadi haru-biru, peguam akan pening kepala, keputusan hakim menjadi salah.”

Kerana itulah, Jabatan Peguam Negara digesa untuk melaksanakan pindaan menukar teks sahih Perlembagaan Persekutuan ke dalam Bahasa Melayu.

“Tatacara menjadikan teks sahih bagi Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Kebangsaan ialah yang pertama, perkara itu hendaklah dibawa ke Parlimen, diluluskan di Parlimen dan dibawa kepada yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan seperti undang-undang biasa dan kemudian membolehkan Baginda menentukan teks Bahasa Kebangsaan itu menjadi teks sahih,” kata peguam Mohd Khairul Azam bin Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Buzze Azam.

Bagaimanapun, inisiatif dan tanggungjawab itu adalah peranan daripada Jabatan Peguam Negara yang seharusnya memulakan langkah pertama untuk melaksanakan pindaan menukar teks sahih Perlembagaan Persekutuan ke dalam Bahasa Melayu.

“Natijahnya nanti kalau perkara ini kekal berterusan dalam Bahasa Inggeris selama enam ke tujuh dekad lagi, tidak mustahil akan menjadikan Bahasa Melayu itu sebagai bahasa kelas kedua di negara kita sendiri dan sekaligus tidak akan menjadikan Bahasa Melayu itu sebagai Bahasa Kebangsaan.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: