Kedah Tubuh Jawatankuasa Khas Kukuhkan Undang-Undang Syariah Negeri
ALOR SETAR, 15 Februari 2024 – Kerajaan Kedah telah membentuk satu jawatankuasa khas dalam usaha mengukuhkan undang-undang syariah negeri itu.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, jawatankuasa itu terdiri daripada Penasihat Undang-undang Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri dan beberapa pihak lain yang berkaitan.
Jelasnya, jawatankuasa tersebut akan mengkaji tindakan susulan yang akan diambil selepas semakan mendapati sebanyak 7 seksyen di bawah enakmen jenayah syariah Kedah adalah sama dengan di Kelantan, yang diputuskan sebagai tidak berperlembagaan oleh Mahkamah Persekutuan.
“Tengoklah di mana ruang yang boleh kita ambil segera untuk undang-undang syariah didaulatkan, tidak lagi perlu tunduk kepada undang undang sivil kena saling melengkapi, bukan saling bersaing, itu yang kita hendaklah.”
“Saya percaya pihak pendakwa raya tidak akan meneruskan untuk mendakwa pesalah di bawah seksyen berkenaan kerana defendan akan menggunakan keputusan (Mahkamah Persekutuan) untuk mencabar kes pendakwaan itu, jadi ini akan memberi kesan kepada semua negeri,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut berkata bahawa pembatalan undang-undang itu boleh berlaku berikutan penafsiran undang-undang yang berbeza oleh pengamal undang-undang pada zaman dahulu dan sekarang.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan dalam satu keputusan, mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.