Tempatan

Kedah Bukan Milik Siam, Pengerusi DAP Kelantan Diselar Persatuan Sejarah Malaysia

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

ALOR SETAR, 08 Januari 2022 – Mohd Herman Bin Roslan, Exco Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah menegaskan bahawa Kedah bukan hak milik Siam.

Penjelasan ini susulan kenyataan daripada Pengerusi DAP Kelantan, Datuk Zaid Ibrahim yang mendakwa bahawa negeri Kedah sepatutnya dipulangkan kepada Siam.

“Saya tertarik dengan ulasan Datuk Zaid (Pegerusi DAP Kelantan) yang mengatakan bahawa Kedah patut dipulangkan kepada Siam.”

“Mungkin ulasan beliau itu adalah respon secara tidak langsung berkenaan penulisan saya bertajuk “Pulau Pinang bukan milik Siam”. Mungkin ya, mungkin tidak,” ujar Mohd Herman dalam Facebook Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK).

Menurutnya, Kedah ditakluki pada tahun 1821 oleh Raja Ligor yang bergelar Phra Pakdi Borirak atas keizinan Rama II.

“Memetik penulisan Cyrill Skiner bertajuk “The Dispatches of Luang Udom Sombat” mengatakan bahawa Phra Pakdi Borirak merupakan anak kepada Raja Thaksin dari Dinasti Thonburi yang mana bapa Raja Thaksin merupakan seorang Cina berkahwin dengan perempuan tempatan.”

“Oleh itu adalah jelas siapakah yang cuba merampas negeri Kedah dari tangan orang Melayu,” kata beliau.

Jelasnya lagi, Kedah berperang dengan Siam secara besar-besaran sebanyak dua kali.

Namun, kedua-dua perang berakhir dengan kegagalan kerana kekuatan Siam dan kelicikan British.

Walaupun pasukan Kedah kalah pada tahun 1838 namun begitu, pada tahun 1840, Rama III membuat keputusan untuk memulangkan semula Negeri Kedah kepada Sultan Ahmad Tajuddin II (SAT II).

“‘J.M Gullick di dalam ‘Kedah 1821-1855 Years of Exile’ dan ‘L.A Mills British Malaya’ mengatakan bahawa pemulangan Kedah kepada SAT II adalah akibat daripada keadaan Kedah yang menjadi sunyi sepi sehinggakan tidak ada aktiviti ekonomi berlangsung.”

Akan tetapi, hakikat yang sebenarnya ialah, British melalui Gabenor Pulau Pinang pada waktu itu, S.G Bonham memutuskan bahawa British tidak akan lagi membantu Siam malah akan menyerang Siam sekiranya Kedah tidak dipulangkan kepada asalnya.

“Hal ini jelas di dalam surat-surat di antara British dan Siam di bawah kumpulan siri ‘Foreign Office Records 1830-1848’,” kata Mohd Herman.

Tambahnya lagi, akibat daripada tindakan British ini, Rama III bersetuju untuk memulangkan Kedah kepada SAT II namun secara bersyarat.

Syaratnya adalah, Kedah mestilah dipecahkan kepada 4 bahagian iaitu Setul, Perlis, Kubang Pasu dan Kedah.

“Kesemua negeri ini mestilah menghantar bunga emas setiap 3 tahun sekali kepada Bangkok.”

“Pihak Bangkok juga bersetuju untuk tidak masuk campur dalam sebarang urusan politik Kedah dan Kedah bebas menentukan nasibnya sendiri,” jelas beliau lagi.

Justeru, Mohd Herman sekali lagi menegaskan, Kedah tidak perlu dipulangkan kepada Siam sekaligus menyangkal kenyataan daripada Zaid Ibrahim.

“Pendek kata Kedah tidak perlu dipulangkan kepada Siam kerana nenek moyang kami sudah menang!”

“Sekarang kamilah pewaris Kedah yang sanggup mempertahankan agama dan negeri kami sampai nafas yang penghabisan,” kata beliau.

Dikenali juga sebagai ‘Perang Musuh Bisik’, perang Kedah Siam (1821-1842) yang mengambil masa selama 21 tahun ini turut melibatkan negeri Kelantan.

Leave a Reply

Back to top button