Kecewa Bekalan Air Keruh, Penduduk Gali Telaga Baharu Di Musim Kemarau
KOTA BHARU, 03 Mei 2023 – Kesukaran mendapatkan bekalan air yang bersih semasa musim kemarau memaksa penduduk di Kampung Pauh Butut, Peringat menggali telaga tiub.
Moraswadi Ariffin, 40, berkata, kebanyakan penduduk setempat mengambil inisiatif sendiri menggunakan perigi untuk kegunaan harian selepas bekalan air Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) sering terputus.
BACA JUGA: Tular Polis Bantuan Didakwa Buat Lagak Samseng Jalanan Di DUKE
BACA JUGA: Peguam Melayu Pertikai Mengapa Wali Diwajibkan Untuk Pengantin Perempuan
BACA JUGA: Hujan Dijangka Mulai Turun Beberapa Hari Lagi
“Masalah utama telaga tiub adalah ia akan semakin kering ketika musim kemarau. Setakat ini, air di dalam telaga masih boleh digunakan meskipun kadangkala airnya keruh,” katanya.
Terdapat juga penduduk yang menggali semula telaga tiub yang dikorek kira-kira 10 tahun lalu di kawasan rumah mereka.
Hafizul Marzuki, 38, berkata, dia mengupah dua penggali untuk menggali semula telaga yang sedia ada pada kedalam empat meter bagi menampung keperluan harian keluarganya.
Katanya, kebanyakan telaga sudah mengalami kekurangan air sejak pertengahan Ramadan lalu dan keadaan bertambah teruk apabila musim kemarau berterusan.
“Saya terpaksa upah dua penggali dengan kadar bayaran RM300 untuk korek telaga. Bekalan air dari AKSB pun sering tiada di kampung ini sejak lebih 10 tahun lalu. Jadi, kami hanya guna telaga tiub untuk kegunaan harian,” luahnya.