Antarabangsa

Kebanyakan Warga Britain Cenderung UK Kembali Sertai EU

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

UNITED KINGDOM, 15 OGOS 2O24 – Lebih dari separuh daripada warga United Kingdom (UK) memilih untuk mengundi bagi negara tersebut menyertai semula Kesatuan Eropah (EU). Perkara ini dinyatakan menerusi sebuah tinjauan yang dilakukan pada skala kebangsaan.

Undian tersebut berlangsung lapan tahun setelah berlakunya kejadian Brexit, di mana ianya telah menjadikan Britain bukan lagi negara ahli bagi blok Eropah itu.

Menurut undian daripada YouGov yang mana telah membuat tinjauan terhadap lebih dari 2,000 warga British pada bulan lalu, sejumlah 59 peratus daripada responden menyatakan bahawa mereka akan mengundi untuk negara tersebut kembali ke dalam EU jika terdapat referendum baharu.

Laporan mengenai undian tersebut yang telah diterbitkan pada Selasa lalu juga menyebutkan bahawa 41 peratus daripada responden pula berpandangan sebaliknya.

Lebih dari 60 peratus pengundi menyatakan bahawa mereka cenderung untuk menyokong hubungan yang lebih erat dengan Brussels yang mana ianya tidak melibatkan penyertaan semula ke dalam EU. Pandangan ini telah ditolak oleh 17 peratus daripada responden manakala 20 peratus lagi memilih jawaban tidak pasti.

Laporan yang sama juga menyatakan bahawa terdapat 55 peratus daripada jumlah responden percaya bahawa keputusan negara tersebut dalam menarik diri daripada EU adalah sebuah keputusan yang salah.

Manakala 34 peratus lagi bersetuju dengan tindakan yang telah diambil oleh pemimpin mereka sebelum ini.

Pada masa yang sama, isu hubungan Britain dengan EU kelihatan seperti tidak mendapat perhatian yang tinggi dalam kalangan pengundi. Menurut YouGov, persoalan tentang Brexit sebelum ini telah disenaraikan sebagai salah sebuah isu terpenting pada tahun 2019 namun kini peratusan mereka yang menganggap isu itu penting telah menurun daripada 63 peratus kepada 7 peratus sahaja bagi tahun ini.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: