Kebanyakan Pekerja Malaysia Mahu Kerja 4 Hari Seminggu
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 23 Jun 2022 – 62 peratus pekerja sepenuh masa di Malaysia lebih memilih untuk bekerja hanya empat hari selama seminggu, menurut dapatan kajian Qualtrics, organisasi yang mempunyai kepakaran dalam pengendalian tinjauan secara maya.
Termasuk Malaysia, 60 peratus pekerja di seluruh negara di Asia Tenggara memilih untuk bekerja lebih singkat setiap minggu.
“Dengan organisasi Asia Tenggara terus memperhalusi cara bekerja selepas dua tahun bekerja jarak jauh, dan pemimpin di Malaysia masih berbahas kebolehlaksanaan amalan bekerja empat hari seminggu, dapatan Qualtrics menunjukkan kepentingan berjaya menjajarkan program baharu yang diterima pakai dengan keperluan dan jangkaan pekerja.”
“Bagi sepertiga pekerja di Asia Tenggara (33 peratus), fleksibiliti bermakna kebebasan menentukan jam bekerja. Selebihnya mentakrifkan fleksibiliti sebagai keupayaan bekerja dari mana-mana lokasi (24 peratus), memilih hari mereka bekerja (19 peratus), atau dinilai berdasarkan prestasi, bukan bilangan jam bekerja (18 peratus). Responden daripada Malaysia menyuarakan pilihan yang sama,” menurut Qualtrics.
Penemuan ini adalah hasil penyelidikan Qualtrics yang telah dijalankan pada bulan Mei 2022 ke atas 3,415 orang tenaga kerja yang bekerja sepenuh masa atau secara sambilan di beberapa buah negara di Asia Tenggara.
Baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja, Nor Rashidah Ismail mencadangkan agar Johor melaksanakan tiga hari rehat berbanding dua hari seminggu sebelum ini bagi menjamin kesejahteraan rakyat Johor.
“Penyeragaman hari rehat semua rakyat di Johor adalah penting untuk kesejahteraan mereka,” ujarnya sewaktu perbahasan titah-titah Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar di Dewan Undangan Negeri di Kota Iskandar kelmarin.
Katanya, keluarga tidak mempunyai masa yang berkualiti bersama berikutan hari rehat yang berbeza bagi penjawat awam, pekerja swasta serta pelajar sekolah.