Tempatan

KDYTM Tengku Mahkota Pahang Bakal Menelusuri Sungai Pahang Sejauh 400KM 3-6 Mac Ini

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUANTAN, 28 Februari 2024 – Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bakal menelusuri Sungai Pahang sejauh hampir 400km bermula 3 hingga 6 Mac ini.

Menurut laporan, Kebawah Duli Tuanku akan menyertai Jelajah Mahkota Mudik Sungai Pahang dari daerah Pekan ke Lipis menaiki bot kajang yang pernah menjadi pengangkutan awam penduduk negeri itu.

Dalam pada itu, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, rakyat negeri Darul Makmur juga berpeluang untuk melihat dan bertemu KDYTM Tengku Mahkota Pahang dari dekat pada acara julung kali diadakan di negeri ini, yang melibatkan enam daerah iaitu Pekan, Maran, Temerloh, Bera, Jerantut dan Lipis.

“Apa yang lebih menarik, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah akan bersemayam secara berkhemah di beberapa lokasi sambil menikmati keindahan alam sekitar di negeri ini selain bercemar duli mendekati dan beramah mesra bersama rakyat setempat.”

Beliau juga mendapat perkenan Tuanku, di mana orang ramai berpeluang menyertai perkhemahan bersama Tuanku pada 3 Mac di tapak Rumah Warisan Chenor, Maran, dan pada 5 Mac di Kampung Gintong, Jerantut.

Ujarnya, “Mereka yang berminat untuk menyertai perkhemahan ini boleh mendaftar dengan Majlis Sukan Pahang (MSP) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di daerah terlibat.”

Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata demikian dalam sidang media khas acara berkenaan di Wisma Sri Pahang semalam.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: