Tempatan

Kawasan Bengkel Melayu Yang Dirobohkan Bawah Azmin Ali – YB Shaari Sungib

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

ULU KLANG, 05 November 2021- “Sejak penggal pertama, iaitu pada tahun 2008, kawasan Rumah Bakti bukan dalam DUN Ulu Klang. Bengkel di Rumah Bakti Ulu Klang adalah di bawah DUN Bukit Antarabangsa di kawasan YB Mohamed Azmin Ali sejak tahun 2008. Bagaimanapun saya tetap membantu pengusaha bengkel tersebut bagi penangguhan perobohan,” ujar ADUN Ulu Klang, YB Tuan Haji Shaari Sungib.

Menurutnya, pertama kali beliau menguruskan kes pengusaha bengkel di Rumah Bakti Ulu Klang adalah setelah ADUNnya bertukar menjadi pembangkang di Selangor, iaitu pada tahun 2020.

“Bagaimanapun, sebaik sahaja Penyelaras DUN (Puan Suzana) dilantik, maka secara rasmi saya telah menyerahkan tugas kepada beliau dalam suatu majlis yang saya anjurkan di hadapan beberapa orang wakil mereka,” katanya lagi.

“Terbaharu, permintaan mereka untuk menangguhkan perobohan selama satu bulan telah saya majukan dan telah saya bertemu sendiri dengan YAB Menteri Besar Dato` Seri Amirudin Shari. Beliau mengatakan akan menghubungi Pegawai Daerah Gombak untuk tindakan lanjut.”

Ujar Shaari Sungib, beliau kemudiannya menghubungi Pegawai Daerah Gombak memaklumkan perbincangannya dengan Menteri Besar.

“Petang 26 Oktober 2021 Pegawai Daerah Gombak telah memaklumkan kepada saya bahawa beliau telah berbincang dengan Yang Dipertua Majlis (YDP) Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memaklumkan bahawa MPAJ telah menyediakan satu tapak milik MPAJ bagi memindahkan peralatan pengusaha bengkel dan mereka dibenarkan menggunakan tapak tersebut selama satu bulan.”

Tambah Shaari, beliau telah menghubungi wakil pengusaha bengkel memaklumkan tawaran Pegawai Daerah Gombak dan YDP MPAJ pada hari yang sama.

“Saya juga membuat panggilan kepada Penyelaras DUN Bukit Antarabangsa, Puan Suzana memaklumkan perkembangan di atas.”

Bukan itu sahaja, beliau juga telah meminta wakil pengusaha bengkel untuk memaklumkan kepada rakan-rakan pengusaha bengkel untuk datang awal pada 27 Oktober untuk membuka peralatan bengkel mereka.

“Pada hari perobohan, iaitu 27 Oktober 2021 saya berada di tapak Rumah Bakti Ulu Klang. Proses perobohan telah berlaku dengan masih banyak lagi ruang untuk berunding.”

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengadakan perbincangan dengan wakil pengusaha bengkel, pegawai tertinggi yang bertanggungjawab dari Pejabat Daerah Gombak dan pegawai tertinggi pasukan penguatkuasaan MPAJ.”

“Saya mencadangkan setakat perobohan yang telah dilakukan sehingga 11.30 pagi, saya rasa sudah memadai.”

Shaari berkata, beliau mencadangkan perobohan ditamatkan pada jam 12 tengahari dan pengusaha bengkel diberi masa selama satu minggu untuk membuka dan memindahkan barang-barang dan peralatan mereka ke tapak yang disediakan oleh MPAJ.

Pandangan tersebut diterima dengan pindaan penangguhan adalah hingga perobohan sederet tembok batu-bata selesai dan diberi masa selama 3 hari untuk memindahkan barang-barang mereka ke tapak MPAJ.

“Saya rasa pengusaha bengkel telah diberikan cukup masa dan saya telah menyantuni mereka secara adil,” ujarnya.

Ditanya, benarkah pengusaha mendakwa dijanjikan tanah ganti untuk berpindah, YB Shaari berkata, perkara itu di luar pengetahuan beliau.

“Saya tidak tahu. Tetapi saya cuba usahakan bagi kes-kes yang telah berlaku dalam DUN saya, Ulu Klang sebelum ini.”

Berkenaan dengan tiadanya minit mesyuarat diberikan pada pengusaha bengkel, beliau berkata, perkara itu adalah urusan agensi atau urusan jabatan. ADUN tiada kuasa eksekutif dalam keputusan kerajaan di bawah MB dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN).

“Saya telah membantu hingga di luar bidang tanggungjawab saya iaitu membantu kes di DUN Bukit Antarabangsa.”

“Namun, berkenaan isu pengusaha dijanjikan tanah di Kemensah iaitu tanah cerun, saya tidak tahu dan langsung tidak dimaklumkan berhubung perkara berkenaan.”

Ditanya lagi, adakah benar tanah itu akan dibina sekolah dan balai bomba seperti yang dikatakan kepada pengusaha, Shaari berkata, beliau ada mendengar dari salah seorang Pegawai Penyelaras DUN Bukit Antarabangsa mengatakan sedemikian.

Apabila ditanya adakah benar dakwaan penduduk bahawa beliau ditekan oleh pemaju untuk pembinaan kondominium, Shaari menafikannya dan menyatakan beliau hanya cuba membantu masalah pengusaha kawasan itu kerana ianya bukan dalam DUN beliau.

“Tiada mana-mana pemaju yang berjumpa dengan saya dan jika ada yang cuba menekan saya, pasti akan saya laporkan kepada PDRM atau SPRM,” ujarnya.

Leave a Reply

Back to top button