Tempatan

Kartel Sugar Daddy, Siasat Di Bawah Promosi Aktiviti Sundal – UMMAH

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR – UMMAH berpendirian isu Sugarbook adalah isu keruntuhan moral wanita terpelajar pada masa depan yang perlu segera ditangani oleh kerajaan kerana ia adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan salah dari sudut undang-undang negara.

“Kerajaan mesti segera bertindak melalui kementerian-kementeriannya yang terlibat antaranya Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Polis Diraja Malaysia,” tegas Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa.

Menurut beliau, kempen kesedaran kepada semua pihak agar bekerjasama memberikan maklumat kepada pihak berwajib bagi memerangi kartel Sugar Daddy ini, dan juga bersedia untuk bersama menyokong Jawatankuasa Khas yang akan ditubuhkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang telah diumumkan semalam bagi menangani gejala sosial yang tidak bermoral ini.

Ujar beliau, UMMAH telah mengarahkan supaya semua NGO Islam membuat laporan polis di seluruh negara supaya kes ini segera disiasat mengikut peruntukan undang-undang negara yang ada.

Beliau turut memuji tindakan pantas pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang sudah mengambil tindakan petang kelmarin dengan menyekat laman sesawang tersebut dari terus berleluasa.

Ditanya apakah tindakan yang sepatutnya diambil oleh pihak universiti dalam membendung perkara ini, beliau berkata, pihak Institusi Pengajian Tinggi perlu menyiasat secara terperinci jika ada pelajar yang terlibat.

“Tindakan tegas berdasarkan peruntukan sedia ada wajar digunakan atau mungkin sehingga pelajar ini diberi amaran dibuang daripada universiti,” katanya yang turut sama turun padang semalam bagi membuat 6 laporan polis bersama Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS).

Bercerita mengenai isu Sugarbook ini beliau berkata, “Sekitar jam 4:00 petang bertarikh 12 Februari 2021, sewaktu berada di rumah, beliau membaca beberapa portal di laman sesawang antaranya bertajuk “Pandemik Heret Pelajar Universiti Ke Kancah ‘Sugar Baby’.”

Mohd Zai berkata, di dalam laporan ini disebutkan kenyataan Darren Chan selaku Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Sugarbook, iaitu sebuah syarikat aplikasi yang giat mempromosikan khidmat menjadi Sugar Baby kepada rakyat Malaysia, khususnya pelajar institusi pengajian tinggi. Darren Chan menyatakan bahawa seramai 12,705 pelajar institusi pengajian tinggi di Lembah Klang menjadi Sugar Baby melalui aplikasi miliknya.

“Selain itu, saya juga turut membaca kenyataan di laman web Sugarbook bertajuk “What Does Sugar Baby Mean? 11 Key Sugar Terms” yang mentakrifkan Sugar Baby sebagai wanita muda yang menukarkan penemanan, persahabatan dan seks untuk wang, hadiah dan pemanjaan daripada lelaki tua kaya.”

Menurutnya, beliau juga sempat membaca kenyataan laman web Sugarbook bertajuk “Sugar Daddy Sex: When’s the right time?” yang menasihatkan Sugar Baby-nya supaya hanya bersetuju untuk melakukan aktiviti seks setelah ganjaran ke atasnya dibincangkan.

“Saya juga membaca di satu lagi portal berita berbahasa Inggeris bertajuk “Owner of ‘Sugar Daddy’ site fined in Belgium” di pautan yang melaporkan seorang lelaki bernama Sigurd Vedal dipenjara 6 bulan dan didenda €24,000 dan syarikat RichMeetBeautiful.comnya didenda €240,000 oleh mahkamah di Belgium kerana mempromosikan persundalan dengan menawarkan khidmat menjadi Sugar Baby kepada pelajar institusi pengajian tinggi di Belgium selain laman webnya disekat daripada beroperasi di Belgium.”

Selaras dengan aktiviti mempromosikan persundalan ini, Mohd Zai Mustafa berpendapat bahawa selain wajib disiasat dan dihukum di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia sekali gus menyekat laman webnya daripada beroperasi di Malaysia, mana-mana pihak yang disyaki terlibat di dalam aktiviti ini juga wajib disiasat dan dihukum di bawah Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan yang berbunyi: “Barang siapa dengan cara mana-mana pengiklanan atau notis lain yang diterbitkan dengan apa cara atau dipamerkan di mana-mana tempat bagi khidmat persundalan atau bagi khidmat di mana seseorang yang munasabah akan memahaminya sebagai khidmat persundalan, menawarkan mana-mana orang bagi maksud persundalan atau mencari maklumat bagi maksud tersebut atau menerima iklan-iklan atau notis-notis sedemikian bagi penerbitan atau pameran; hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai lima belas tahun dan dengan sebatan, dan hendaklah juga dikenakan denda.”

“Oleh itu, saya minta pihak polis membuat siasatan terperinci ke atas Darren Chan dan syarikat Sugarbooknya bagi memastikan aktiviti mempromosikan persundalan ini tidak terus berleluasa di Malaysia,” katanya ketika dihubungi pihak Samudera.my di sini, semalam.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: