Kapal LCS: Laporan Siasatan Akan Didedahkan Kepada Umum
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PUTRAJAYA, 11 Ogos 2022 – Mesyuarat Jemaah Menteri memutuskan untuk menyiarkan kepada umum Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.
Perkara itu diputuskan oleh mesyuarat tersebut semalam susulan perbincangan terperinci mengenai isu Littoral Combat Ship (LCS) yang sedang dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Jemaah Menteri juga mencadangkan supaya Laporan Pengauditan Forensik Projek LCS yang dijalankan pada tahun 2019 dinyahklasifikasikan, namun proses ini perlu mendapat nasihat dan pandangan Peguam Negara dan Ketua Audit Negara terlebih dahulu, menurut kenyataan tersebut.
Selain itu, mesyuarat memutuskan untuk menggesa SPRM agar menyegerakan siasatan dan sekiranya terdapat bukti kukuh, Peguam Negara hendaklah membuat pendakwaan dan mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan.
“Saya bagi pihak Kerajaan, memberi jaminan bahawa siasatan isu ini dijalankan dengan telus dan Kerajaan tidak akan melindungi sesiapa pun yang terlibat.”
Pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi sebelum ini mengeluarkan kenyataan susulan pendedahan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
“Dah lebih 10 tahun. Dah belanja RM6 bilion. Satu kapal pun tak siap. Dahsyat!” kata Dr Nungsari Ahmad Radhi, pakar ekonomi.
Menurut laporan PAC tersebut, jadual asal syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) yang diberikan kontrak secara runding terus, sepatutnya menyerahkan lima unit LCS sejak 2013 hingga bulan ini kepada Kerajaan.