Antarabangsa

Kapal-Kapal Perang Dunia Kedua Muncul, Sarat Dengan Bahan Letupan

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PRAHOVOO, 25 Ogos 2022 – Kapal-kapal Perang Dunia Kedua milik Jerman sarat dengan bahan letupan muncul di permukaan sungai apabila sungai Danube mengering berikutan kemarau teruk melanda Eropah.

Kapal-kapal itu adalah antara ratusan kapal perang yang tenggelam oleh armada Laut Hitam Nazi Jerman pada tahun 1944 ketika mereka berundur daripada pasukan Soviet.

Kebanyakan kapal yang dijumpai itu masih mengandungi beberapa metrik tan peluru dan bahan letupan yang boleh mendatangkan bahaya kepada pelayar.

Seorang veteran tentera dari Prahovo dan juga penulis buku tentang kapal-kapal Jerman, Velimir Trajilovic, 74, berkata, armada Jerman telah meninggalkan bencana ekologi besar yang boleh mengancam penduduk Pravoho.

Katanya, sejak Perang Dunia Kedua, penduduk Pravoho tinggal dalam keadaan ketakutan dek kerana risau akan bahan letupan peninggalan armada Jerman.

“Sisa-sisa Perang Dunia Kedua atau kesan konflik antara tentera Soviet dan tentera Jerman kini berada di depan kami. Kami pasti kira-kira 10,000 kilogram alat letupan ada di sini.”

“Walaupun kita tidak tahu sama ada ia boleh meletup atau tidak, tapi kita sudah boleh menjangkakan apa yang akan berlaku jika hanya satu boleh meletup,” katanya.

Beberapa kapal yang muncul masih mempunyai komponen kapal seperti menara dan jambatan komando, manakala yang lain kebanyakannya terendam di bawah tebing pasir.

Ekoran kemunculan kapal-kapal perang tersebut, sungai Danube telah menjadi sempit iaitu hanya 100 meter (330 kaki) dari 180 meter.

Kini, pihak berkuasa Serbia telah melakukan kerja pendalaman sungai untuk memastikan laluan navigasi sepanjang sungai Danube sentiasa terbuka.

Mac lalu, kerajaan Serbia membelanjakan sekitar USD 30 juta untuk menyelamatkan kapal besar dan mengeluarkan peluru dan bahan letupan.

Leave a Reply

Back to top button