Kapal Angkasa ‘Kamikaze’ Rempuh Asteroid Selamatkan Bumi Pagi Esok!
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
HOUSTON, 26 September 2022 – Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) bakal merempuh asteroid menggunakan kapal angkasa pada jam 7.14 pagi esok sebagai misi pertama dalam menyelamatkan Bumi dari dihentam asteroid, lapor media tempatan.
Ujian Pengalihan Asteroid Berganda (DART) yang mengendalikan projek tersebut dengan sengaja akan menjatuhkan kapal angkasa berkenaan untuk melihat sama ada tindakan memesongkan laluan asteroid itu mampu menghalangnya yang berpotensi melanggar bumi.
Kapal angkasa DART akan menyasarkan batu angkasa gergasi (diameter 525 kaki/160 m) yang dipanggil Dimorphos pada kelajuan 15,000 bt sejam (24,140 km sejam). Matlamat NASA bukan untuk melenyapkan asteroid, namun mahu melihat sama ada perlanggaran itu boleh mengubah orbit batu angkasa.
Ahli astronomi, Alan Fitzsimmons yang juga ahli pasukan penyiasat NASA DART berkata, projek tersebut antara usaha yang sangat rumit dan perkara yang pihaknya akan lakukan ialah menggunakan sebanyak mungkin tenaga daripada DART untuk menggerakkan asteroid.
Laporan sama memaklumkan, pengawal misi itu akan menetapkan agar kapal angkasa tersebut dapat mengemudi dengan sendirinya di angkasa lepas pada jarak 6.5 juta batu (10.5 juta kilometer) dari Bumi. Kamera khas dari kapal angkasa akan merakam perlanggaran kosmik yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
Pentadbir NASA, Bill Nelson berkata, DART mengubah fiksyen sains menjadi fakta sains dan ia merupakan bukti proaktif dan inovasi NASA untuk manfaat semua.
“Ujian ini akan membantu membuktikan kaedah yang berdaya maju bagi melindungi planet kita daripada asteroid berbahaya sekiranya ia dikesan menuju ke Bumi,” katanya.
Menurut agensi angkasa Amerika Syarikat, belum ada asteroid lebih besar daripada 450 kaki (137 m) melintang dikenal pasti mempunyai peluang besar untuk menghentam planet ini dalam tempoh 100 tahun akan datang.
Oleh itu, walaupun misi DART gagal, saintis akan memperoleh maklumat penting daripada eksperimen ini yang boleh melindungi bumi suatu hari nanti.
“Jika ia tidak mengena sasaran, kita masih dapat kumpul data. Itu sebab kami buat ujian ini. Kami mahu melakukannya sekarang dan bukannya menunggu sehingga wujud keperluan sebenar,” ujar Pejabat Penyelarasan Pertahanan Planet NASA, Andrea Riley.