Tempatan

Kandungan Provokatif Di Luar Kawalan, MCMC Percepat Kaji Perundangan Komunikasi Semasa

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

CYBERJAYA, 03 Disember 2022 – Susulan penyebaran kandungan provokatif yang di luar kawalan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bertindak mempercepat kajian ke atas perundangan komunikasi semasa, lapor berita tempatan.

Menurut Pengerusi Interim MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, kajian tersebut merangkumi pengurusan kandungan dalam talian bagi mencegah kandungan yang menyebarkan isu perkauman serta mewujudkan perpecahan dalam masyarakat.

“Sudah tiba masanya kerangka kawal selia semasa perlu dikaji semula, mengambil kira keadaan semasa di alam siber yang dilihat di luar kawalan yang memungkinkan penyebaran kandungan-kandungan yang mengancam keselamatan dan keharmonian negara, pandangan ekstremisme dan palsu.”

“Kajian ini meliputi kerangka kawal selia dalam aspek pelesenan, kesesuaian hukuman atau penalti semasa serta keperluan untuk memperkenalkan undang-undang baharu,” jelas beliau.

Sewaktu pasca Pilihan Raya Umum kKe-15 (PRU-15) yang lalu, pihak polis telah mengesan pengguna media sosial yang bertindak memuat naik kandungan berunsur provokatif yang menyentuh sentimen perkauman, keagamaan dan menghina institusi diraja.

Baru-baru ini juga, pihak MCMC telah memanggil pengurusan TikTok bagi memberi penjelasan berhubung penyebaran tiga klip video mengenai amaran rusuhan 13 Mei 1969 yang tersebar di laman sosial terbabit.

Berikutan itu, pihak MCMC mengingatkan semua pihak agar menghormati agama dan institusi diraja serta perasaan berbilang kaum dan mewujudkan keharmonian serta perpaduan dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: