Kandung Imej Hina Jata Negara, Penyunting Buku Ditahan Bantu Siasatan
KUALA LUMPUR, 18 Oktober 2023 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang lelaki warga tempatan yang juga penyunting buku bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia’ bagi membantu siasatan berhubung kes penerbitan buku tersebut yang dipercayai mengandungi imej menghina jata negara.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia dalam satu kenyataan media, CP Dato’ Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain, suspek yang berusia 58 tahun dipercayai menetap di Sydney, Australia dan telah ditangkap di Pejabat Imigresen Kelana Jaya, Selangor sewaktu memohon untuk memperbaharui pasport pada 16 Oktober 2023.
Suspek bagaimanapun telah dibebaskan pada 17 Oktober 2023 setelah tamat tempoh reman.
“Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 8(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.”
“Siasatan masih dijalankan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan. PDRM turut mengingatkan orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu sensitif terutamanya melibatkan aspek keselamatan serta kedaulatan negara,” tegas beliau.