Antarabangsa

Kanak-Kanak Seluruh Negara Alami Gangguan Darah Selepas Makan Sosej

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

BANGKOK, 18 Mac 2022 – Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Thailand menemui kandungan asid nitrik dan asid benzoik dalam sosej yang menjadi punca sejumlah kanak-kanak di Thailand mengalami masalah darah selepas memakan sosej tersebut.

Siasatan dilakukan oleh pihak FDA apabila Pusat Racun di Hospital Ramathibodi melaporkan sebanyak 14 pesakit kanak-kanak di seluruh Thailand mengalami masalah methemoglobinemia atau gangguan darah yang boleh membawa kematian selepas mereka memakan sosej yang tidak mendapat cop kelulusan FDA.

Timbalan Setiausaha Agung FDA, Weerachai Nolwachai mengatakan, FDA telah menguji sosej dari lapan tempat iaitu Chiang Mai, Phetchaburi, Saraburi, Trang, Phayao, Songkhla, Nakhon Si Thammarat dan Kanchanaburi.

Berdasarkan 102 sampel yang telah diambil, FDA Thailand mendapati 22 daripada 44 sampel yang diuji mengandungi kadar asid nitrik dan benzoik yang melebihi piawaian.

“22 sampel mengandungi kandungan pengawet makanan asid nitrik yang melebihi had piawaian iaitu 80 miligram sekilogram. Kesemuanya dijual tanpa cop kelulusan FDA pada pembungkusannya serta datang dari kilang yang tidak mendaftar dengan FDA sebagai pengeluar makanan,” ujarnya.

Menurutnya, pihak FDA telah membuat aduan kepada pihak polis terhadap 22 pengeluar sosej.

“Pengilang makanan yang menambah kandungan asid nitrik yang berlebihan akan dikenakan dua tahun penjara dan denda Bt20,000 atau kedua-duanya sekali,” tambahnya lagi.

Justeru, Weerachai menasihati pengguna agar memeriksa cop FDA, nama dan lokasi pengilang, tarikh pembuatan, tarikh luput, ramuan, bahan makanan serta berat bersih pada pembungkusan sosej yang dibeli.

Beliau juga mengingatkan agar pengguna tidak membeli sosej yang berharga murah dari kedai yang tidak boleh dipercayai. Sebarang aduan tentang makanan atau ubat yang tidak berkualiti atau tidak selamat boleh dibuat menerusi talian hotline FDA di 1556.

Leave a Reply

Back to top button