Kanak-Kanak Perempuan Jadi Mangsa Seksual, Dibunuh & Dibakar Di Tangan Junta – NUCC
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
YANGON, 29 November 2022 – 12 kanak-kanak perempuan merupakan antara 308 mangsa yang telah diserang secara seksual, dibunuh dan dibakar mayatnya oleh tentera junta Myanmar bagi menghapuskan bukti, dakwa Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (NUCC).
“Wanita dan kanak-kanak perempuan sering menjadi mangsa keganasan setiap kali berlakunya konflik di Myanmar termasuk dirogol, diseksa dan dibunuh,” menurut NUCC.
Jelas NUCC, sejak tercetusnya konflik di negara itu, tentera junta telah menerima pakai rogol, penyeksaan dan penderaan seksual terhadap orang awam sebagai senjata perang hampir setiap hari.
Myanmar yang merupakan salah satu negara dalam Asia Tenggara berada dalam keadaan huru-hara sejak berlakunya rampasan kuasa tentera pada Februari 2021 di mana Kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi yang dipilih secara demokrasi digulingkan oleh Jeneral Kanan Min Aung Hlaing.
Menurut data yang dikumpul NUCC, polis dan tentera telah membunuh 2,327 orang secara keseluruhan sejak rampasan kuasa itu.
Baru-baru ini, Presiden Indonesia, Joko Widodo telah mengesyorkan larangan terhadap Kerajaan Junta Myanmar untuk menyertai sebarang acara di negara seratau itu sebagai tanda kekecewaan sebilangan anggota ASEAN susulan proses yang lambat bagi menamatkan keganasan di Myanmar.
Julai lalu, junta Myanmar mendapat kecaman hebat daripada kuasa antarabangsa selepas melaksanakan hukuman mati ke atas empat banduan termasuklah seorang bekas ahli parlimen dari parti pimpinan Aung San Suu Kyi.