Kanak-Kanak Palestin 16 Tahun Ditembak Tentera Zionis Di Kepala
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
TEBING BARAT, 13 Disember 2022 – Tentera rejim haram aparteid Israel telah menembak mati seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di kepala semasa serbuan di bandar Jenin, Utara Tebing Barat baru-baru ini.
Sewaktu kejadian, mangsa yang dikenal pasti sebagai Jana Majdi Zakarneh sedang berdiri di atas bumbung rumahnya, lalu ditembak di kepala. Kementerian Kesihatan Palestin telah mengesahkan kematian remaja itu pada Isnin malam.
Serbuan tentera rejim haram Israel ke atas bandar tersebut juga mengakibatkan sekurang-kurangnya dua lagi rakyat Palestin cedera ditembak sekali gus mencetuskan pertempuran antara pejuang Palestin dan tentera rejim Israel.
Dalam satu kenyataan, pihak tentera pendudukan rejim haram menyedari tentang pembunuhan itu dan sedang meneliti perkara berkenaan. Mereka kemudiannya mengakui tenteranya telah menembak mati seorang remaja perempuan Palestin semasa operasi, namun mengatakan tindakan itu adalah tidak sengaja.
Siasatan awal tentera Israel mendapati gadis itu ‘terkena tembakan yang sebenarnya disasarkan kepada lelaki bersenjata di bumbung berhampiran’.
Susulan tragedi tersebut, komander tentera rejim ‘menyesali sebarang bahaya terhadap orang awam yang tidak terlibat’, tetapi akan tetap meneruskan operasi serbuan mereka.
Jana Majdi Zakarneh adalah satu daripada lebih 50 kanak-kanak Palestin yang dibunuh oleh tentera rejim haram aparteid pada tahun ini. Beliau juga merupakan salah seorang mangsa korban daripada lebih 215 rakyat Palestin yang terbunuh secara keseluruhan pada tahun 2022.