Kanak-Kanak 4 Tahun Maut Dijaga Rakan Kakak, Polis Klasifikasi Kes Bunuh
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
BATU PAHAT, 27 Disember 2022 – Seorang kanak-kanak lelaki berumur 4 tahun maut sewaktu dalam jagaan rakan kakaknya.
“Mangsa telah dijaga oleh kakak kandungnya setelah kedua-dua ibu bapa mereka dimasukkan ke penjara akibat kesalahan dadah. Kemudian mangsa telah diserahkan kepada rakan kakak untuk dijaga,” kata Ketua Polis Johor, CP Dato’ Kamarul Zaman bin Mamat dalam satu kenyataan dimuat naik di Facebook Polis Johor.
Katanya, pihak polis menerima laporan pada 23 Disember 2022 daripada seorang pengadu lelaki berkaitan seorang kanak-kanak lelaki telah pengsan di rumahnya dan dibawa ke klinik untuk rawatan.
“Pada 26 Disember 2022 jam lebih kurang 6.40 petang mangsa yang berusia lingkungan 4 tahun telah disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail Johor Bahru setelah menjalani rawatan sejak 23 Disember 2022.”
Bahagian Siasatan Jenayah IPD Batu Pahat berjaya menahan lima individu warga tempatan yang terdiri daripada dua lelaki dan tiga perempuan berumur lingkungan 23 tahun itu pada 24 Disember 2022 yang disyaki terlibat dengan kematian kanak-kanak lelaki tersebut.
Hasil siasatan yang dijalankan, pihak polis telah membuat rampasan barang yang disyaki digunakan untuk mendera mangsa di sebuah rumah sekitar Senggarang, Batu Pahat.
“Pada awalnya kes ini telah disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya. Namun begitu pihak polis telah mengklasifikasikan kes semula akibat kematian mangsa iaitu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.”